Topik diikuti
Pergi ke BHkuGolf, penginapan dan hiburan perkukuh daya tarikan Desaru Coast
Golf, penginapan dan hiburan perkukuh daya tarikan Desaru Coast
Mutu padang golf yang terpelihara, layanan kepada pengunjung dan pilihan penginapan menjadi kekuatan Desaru Coast untuk menarik pemain tempatan serta serantau kembali menikmati pengalaman bermain di destinasi itu.
Gabungan tersebut diketengahkan menerusi penganjuran sulung Golf Classic 2026 oleh Hard Rock Hotel Desaru Coast bersama The Els Club Desaru Coast, dari 25 hingga 27 September, yang menyatukan pertandingan, hiburan dan kebajikan.
Pengulas sukan veteran Malaysia, Encik Abu Bakar Atan berkata The Els Club Desaru Coast setanding dengan padang antarabangsa yang pernah dikunjunginya sepanjang lebih 30 tahun bermain golf.
Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), pernah bermain di Malaysia, Singapura, Jerman, Thailand dan Indonesia.
“Lapangan ini dijaga dengan cemerlang, cantik dan sudah pasti sedikit mencabar. Bagi pemain yang datang menyertai kejohanan ini, ia merupakan satu pengalaman yang istimewa,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, Malaysia terus berdaya saing dalam pelancongan golf walaupun berdepan persaingan destinasi serantau, termasuk Thailand dan Indonesia.
“Jika kita ambil contoh kejohanan ini, layanannya sangat baik. Pengalaman seperti inilah yang boleh membuatkan pemain golf di Asia Tenggara mahu datang bermain di Desaru Coast,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa golf hanya sesuai untuk golongan berada atau pemain berusia, sambil menyatakan terdapat kelab yang menawarkan kadar berpatutan serta program pembangunan pemain muda.
Seorang lagi peserta, Ketua Percetakan dan Pengeluaran Sinar Harian, Encik Azizi Fikri, berkata penyelenggaraan padang yang tekal mendorongnya kembali ke The Els Club Desaru Coast, sekurang-kurangnya sekali setahun.
Beliau sudah bermain golf selama lebih 10 tahun dan menganggarkan telah mengunjungi padang itu lebih 10 kali.
“Apabila datang jauh dari Kuala Lumpur, kita tidak mahu kecewa. Di sini, kita mempunyai keyakinan bahawa keadaan padang akan berada pada tahap yang baik,” katanya.
Menurut Encik Azizi, pilihan padang golf di Johor serta gabungan kemudahan, makanan dan penginapan menjadikan perjalanan itu berbaloi.
Beliau berkata Ocean Course tetap mencabar, meskipun format berpasukan kejohanan membantu memudahkan permainan, manakala Valley Course menawarkan cabaran lebih tinggi.
“Ini kali pertama saya menginap di Hard Rock. Secara keseluruhan, dari hotel hingga ke padang golf, pengalamannya sangat baik dan berbaloi dengan perjalanan,” katanya.
Golf Classic menampilkan pertandingan 18 lubang di Ocean Course, rekaan pemain terkenal Ernie Els, pada 26 September, menggunakan format Two-Ball Scramble dengan dua pemain sepasukan.
Program turut merangkumi cabaran ketepatan dan jarak pukulan, selain acara malam sempena ulang tahun kelapan hotel yang menampilkan kumpulan Gerhana Ska Cinta.
Naib Presiden Kawasan merangkap Pengurus Besar Hard Rock Hotel Desaru Coast, Encik Murray Aitken, berkata penganjuran itu menggabungkan golf, hiburan, hospitaliti dan pelibatan masyarakat.
“Bersama The Els Club Desaru Coast dan Desaru Coast, kami mempunyai asas yang kukuh untuk mengembangkan acara ini menjadi acara tahunan, manakala komponen Pinktober membolehkan kami memperluas manfaatnya melangkaui padang golf,” katanya.
Sebagai pembuka tirai kempen kesedaran barah buah dada, Pinktober pada Oktober, penganjur menetapkan sumbangan RM125 ($39) bagi setiap pemain berdaftar kepada Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Johor Bahru.