Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor, Kedah, Perak, Selangor kembali banjir

Oct 7, 2024 | 1:52 PM
Keadaan banjir di Taman Suria, Taman Rekamas dan Kampung Seri Tengah, Renggam, di Kluang, Johor.
Keadaan banjir di Taman Suria, Taman Rekamas dan Kampung Seri Tengah, Renggam, di Kluang, Johor. - Foto ANGKATAN PERTAHANAN AWAM JOHOR

JOHOR BAHRU: Empat negeri iaitu Johor, Kedah, Selangor dan Perak kembali dilanda banjir dengan sejumlah 1,713 mangsa terjejas dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Johor mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 811 mangsa daripada 240 keluarga di tiga daerah terlibat iaitu Kluang, Pontian dan Batu Pahat setakat 1 tengah hari 7 Oktober, dengan 11 PPS dibuka setakat ini.

Kedah yang baru pulih daripada bencana itu kembali memindahkan seramai 352 mangsa daripada 103 keluarga ke tiga PPS di daerah Kubang Pasu dan Pendang.

Perak pula membuka empat PPS di daerah Larut, Matang dan Selama, Kerian serta Hilir Perak dan menempatkan seramai 302 mangsa daripada 102 keluarga yang terkesan dengan banjir.

Seramai 248 mangsa daripada 86 keluarga pula dipindahkan ke tiga PPS di Selangor, lapor Berita Harian Malaysia.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kluang mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 674 daripada 199 keluarga yang ditempatkan di enam PPS sejak 6 Oktober.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai di Sungai Benut di Simpang Renggam, Kluang, berada pada paras waspada iaitu 6.18 meter.

Jabatan Meterologi Malaysia pula meramalkan hujan lebat dan ribut petir di daerah Batu Pahat, Tangkak dan Muar pada 7 Oktober.

Laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan, empat sungai di dua daerah di Kedah masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat 9 pagi 7 Oktober.

Antara sungai terbabit ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di daerah Kubang Pasu dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman serta Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar.

Sementara itu seorang mangsa banjir di Changlun, Kedah, Cik Azizah Wahab, 46 tahun, berkata beliau letih berdepan masalah kediaman ditenggelami banjir tiga kali dalam tempoh kurang tiga minggu, dengan yang terbaru rumah kembali dinaiki air selepas baru tiga hari dicuci.

“Sebelum ini, saya dan sekeluarga telah berpindah ke PPS pada 19 September lalu selama empat hari, diikuti 27 September (tiga hari).

“Baru tiga hari selesai cuci rumah, banjir melanda lagi awal pagi tadi (6 Oktober) menyebabkan kami terpaksa berpindah kali ketiga ke PPS dalam tempoh tidak sampai tiga minggu,” katanya lapor BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg