KOTA BHARU: Seorang bapa yang menikam anaknya berusia 11 tahun, di Kampung Banggol Che Dol, di Pasir Mas pada 2 Mei, ditahan reman selama tujuh hari.
Suspek berusia 47 tahun, yang juga seorang guru, ditahan reman bermula 3 Mei hingga 9 Mei.
Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri membenarkan permohonan polis untuk mereman suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, dengan berpakaian lokap sekitar 8.40 pagi, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 2 Mei, seorang budak lelaki berusia 11 tahun, dilaporkan cedera ditikam bapanya sebanyak dua kali di dada dan perut, menggunakan pisau pemotong sayur.
Suspek dilaporkan ada masalah mental dan sudah menerima rawatan psikiatrik sejak 2008 hingga kini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, dilaporkan berkata anggota bertugas sudah menahan suspek di rumahnya di Kampung Banggol Che Dol, di sini, pada 2 Mei.
Katanya, punca kejadian dipercayai daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya untuk kali ketiga, yang mana dijadualkan disebut di Mahkamah Syariah Tumpat pada 13 Mei nanti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg