Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 5 tahun maut di Johor, tertinggal 5 jam dalam van sekolah

May 2, 2025 | 11:42 AM
Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai ditinggalkan dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor, berharap keadilan dapat ditegakkan bagi anak mereka. 
Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai ditinggalkan dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor, berharap keadilan dapat ditegakkan bagi anak mereka.  - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas lima jam tertinggal dalam van sekolah yang berkunci di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor, pada 30 April.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Yu Zie, dipercayai cuba keluar dari kenderaan terbabit namun gagal.

Dia ditemui tidak sedarkan diri di bahagian pintu van berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya M Kumarasan, berkata mangsa dipercayai tertinggal di dalam van sekolah itu ketika pemandu menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika pada hari yang sama, sekitar 7.30 pagi.

Menyusuli kejadian, polis menahan pemandu van sekolah terbabit berusia 56 tahun di sekitar Taman Bukit Indah kira-kira 2.40 petang 30 Mac, bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian air kencing juga mendapati suspek negatif dadah,” katanya sambil menambah kes disiasat atas kesalahan pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu bapa kanak-kanak berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Teo Jia, 37 tahun, terkilan kerana yakin anaknya sudah berusaha untuk keluar dari van berkenaan berdasarkan penemuan mayatnya di pintu van, namun gagal.

Encik Teo yang bekerja di Singapura berkata keadaan itu membuktikan anak tunggalnya itu maut akibat kecuaian pemandu van berkenaan.

“Saya kecewa, sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan kanak-kanak semua sudah turun, baru boleh tutup (pintu van) atau balik.

“Pihak tadika juga cuai, sepatutnya semak kehadiran... kalau kanak-kanak tidak datang, hubungi keluarga tanya anak dekat mana,” katanya.

Encik Teo menambah, ada guru menghubunginya melalui telefon kira-kira 1 petang memintanya bersama isteri datang segera ke hospital kerana anak dalam kecemasan.

“Apabila sampai, saya tengok anak sudah terbaring kaku, lemah tidak bernafas... doktor cakap mereka sudah sedaya upaya menyelamatkan nyawa anak saya,” ceritanya.

Terdahulu beliau berkata pemandu van menjemput anaknya di kediaman mereka di Taman Bukit Indah kira-kira 7.15 pagi dan kebiasaannya van sekolah tiba di tadika kira-kira 8.15 pagi.

“Saya dapat tahu, selepas sampai, pemandu van akan turunkan kanak-kanak masuk ke sekolah dan akan tinggalkan van berhampiran tadika sebelum pulang ke rumah dengan menaiki motosikal.

“Mungkin anak saya tertidur ketika itu dan pemandu van tidak menyedarinya. Dalam 12 tengah hari, tahu-tahu jumpa anak saya sudah tidak bernyawa di bahagian pintu van, mungkin nak keluar tapi tak dapat,” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg