Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ismail Sabri tetap sokong Anwar, nafi ada AP BN tukar fikiran

Mar 24, 2025 | 11:57 AM
Mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa beliau tetap memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia.
Mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa beliau tetap memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia. - Foto FACEBOOK UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa beliau tetap memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia dan mengetuai kerajaan Madani.

Kenyataan itu sekali gus mengesahkan Ahli Parlimen (AP) Bera itu menafikan khabar angin bahawa beliau bersama 13 AP Barisan Nasional (BN) telah menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan.

“Sebenarnya cerita ini sudah lama dan pada peringkat awal saya tidak mahu layan kerana perkara tersebut tidak benar, tapi ia berterusan melalui tulisan dan video. Jadi akhirnya hari ini saya terpanggil untuk menjawab.

“Perkara ini tidak benar, kononnya sudah pun keluar, tapi sebenarnya tiada siapa keluar Umno atau BN sebaliknya kita kekal dalam kerajaan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, lapor Malaysiakini.

Datuk Ismail Sabri yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan pihak tertentu berniat jahat menyebarkan fitnah terhadap 13 AP lain khususnya dirinya.

Malah tambah mantan Naib Presiden Umno itu lagi, dakwaan berkenaan bertujuan memecahbelahkan hubungan antara pemimpin parti serta menimbulkan kesangsian sesama AP BN.

Memegang rekod sebagai perdana menteri Malaysia paling singkat berkhidmat dengan tempoh 15 bulan, Datuk Ismail Sabri menegaskan bahawa sokongan penuh AP BN terhadap kerajaan terbukti melalui tindakan di Parlimen termasuk undi percaya kepada perdana menteri.

“Apabila dibentangkan pada peringkat awal dulu, seluruh 30 AP BN menyokong penuh usul yang dibawa dan setiap kali rang-rang undang dibawa, kita sokong sepenuhnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, turut menafikan dakwaan terdapat usaha untuk menjejaskan perpaduan dalam kalangan AP parti itu.

Untuk rekod, Datuk Ismail Sabri sedang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dana dikaitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi program Keluarga Malaysia sepanjang beliau menjadi perdana menteri antara Ogos 2021 dengan November 2022.

Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Seri Azam Baki, mengesahkan bahawa Datuk Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan itu berikutan penemuan kira-kira RM170 juta ($51.2 juta) dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas dalam peti besi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg