KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, bagi membantu siasatan berhubung kenyataan beliau bertajuk, ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’, yang mengundang dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kertas siasatan Ahli Parlimen (AP) Marang itu akan diselesaikan segera.
“Kami akan lengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Hadi, Encik Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata Presiden PAS itu telah memberi keterangan kepada dua pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pada 5 Mac.
Dalam sesi merakam keterangan yang bermula sekitar 2.15 petang, Tan Sri Abdul Hadi memberi kerjasama dan meluangkan masa kira-kira sejam untuk memberi keterangan kepada polis.
“Serah kepada Bukit Aman. Tuan Guru pun dah baca kenyataan daripada IGP (Ketua Polis Negara) Menteri Dalam Negeri tentang kes ini, yang mana diwujudkan satu pasukan khas tentang isu 3R (raja, kaum dan agama), berkenaan Tan Sri Tuan Guru.
“Jadi di pihak Tuan Guru kita beri komitmen, kerjasama sepenuhnya. Soalan boleh tahan banyak juga, beberapa muka surat,” katanya lapor Astro Awani.
Tan Sri Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan bertajuk, ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ di mana inti pati kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, AP dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Raja-Raja Melayu.
Sebelumnya, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan tersebut dan menyifatkan Tan Sri Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam ucapan beliau semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari.
Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi antara lain menyentuh mengenai isu undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah, selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, pada 9 Februari.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Cik Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Tengku Maimun dalam penghakiman panel, berkata mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN Kelantan membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg