Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Sidang Parlimen di bawah Agong baru mula dengan pelbagai ragam

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Sidang Parlimen di bawah Agong baru mula dengan pelbagai ragam

Mar 03, 2024 | 09:37 AM



Pada 29 Februari, selesailah persidangan Parlimen Malaysia untuk mesyuarat minggu pertama, selepas pembukaan sidang bagi penggal ketiga Parlimen Ke-15 ini yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar, pada 26 Februari.

Persidangan pertama bagi 2024 akan berlangsung selama 19 hari, hingga 27 Mac.

Bagi Sultan Ibrahim, perasmian pembukaan persidangan kali ini adalah yang pertama buat beliau selepas dilantik sebagai Agong ke-17 Malaysia pada 31 Januari lalu.

Ketika menyampaikan ucapan sulung untuk perasmian Parlimen kali ini, pelbagai amanat dan pesanan dititipkan.

Tujuannya semata-mata untuk memastikan institusi Parlimen sebagai pusat menggubal undang-undang dan peraturan negara dihormati.

Pesan beliau, Ahli Parlimen (AP) perlu menjadi contoh dengan menjaga adab, pertuturan serta tata tertib sepanjang berbahas di Parlimen.

Beliau memberi ‘lampu hijau’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Namun, baru empat hari bersidang dan masih panas amaran Tan Sri Johari yang mengulangi peringatan supaya Ahli Dewan menjaga adab di dalam Dewan pada 27 Februari, sudah macam-macam kisah dan ragam berlaku.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah apabila AP pembangkang, Datuk Awang Hashim, menjadi wakil rakyat pertama yang diusir dan digantung selama empat hari daripada menghadiri Dewan Rakyat bermula 27 Februari.

Tindakan itu selepas beliau mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadap keputusan Speaker untuk membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang secara mengejut mahu membawakan ucapan pujian kepada Agong.

Namun, ini bukanlah kali pertama Datuk Awang dikenakan tindakan digantung Parlimen kerana pada Mac 2023 pun beliau pernah dikenakan tindakan sama, diusir Dewan dan tidak dibenarkan hadir persidangan selama dua hari kerana mulut ‘celupar’.

Namun, beliau bernasib baik kali ini Speaker menarik balik hukuman itu selepas dirayu oleh Ketua Pembangkang yang juga AP Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan kesediaan Datuk Awang memohon maaf atas kesilapan itu.

Tidak cukup itu, blok pembangkang sekali lagi menzahirkan protes terhadap keputusan Speaker lalu beramai-ramai keluar daripada Dewan, ketika Datuk Anwar menyampaikan ucapan pujian ringkas sependek empat minit.

Maka ramailah yang mula mengkritik tindakan pembangkang yang dikatakan tidak menunjukkan teladan yang baik dan seolah-olah tidak menghormati Agong.

Namun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempertahankan tindakan mereka dengan mendakwa Datuk Anwar telah menggunakan kuasa majoritinya untuk memutuskan perkara yang di luar peraturan mesyuarat kerana dibuat selepas bahas titah diraja bermula.

Berdasarkan penjelasan Datuk Anwar yang juga AP Tambun, beliau merancang menyampaikan ucapan pujian itu pada sebelah pagi, namun tidak berkesempatan berikutan terikat jadual menyantuni Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, dan rombongannya yang mengadakan lawatan rasmi sehari ke Malaysia.

Seorang veteran politik yang juga mantan AP yang enggan namanya disiarkan menyifatkan walaupun ada sedikit tindakan AP kerajaan yang mungkin tidak mematuhi peraturan, ia tidak perlu disusuli dengan drama yang boleh menjejas nama baik Parlimen, apatah lagi dilihat sebagai tidak menghormati institusi Istana yang menjadi payung kepada 33 juta rakyat Malaysia.

“Mungkin ada sedikit lari daripada peraturan mesyuarat apabila Perdana Menteri mahu sampaikan ucapan terima kasih kepada Agong ketika titah diraja sudah mula dibahaskan. Namun ia bukanlah satu kesalahan atau isu besar yang perlu dibawa meleret sehingga perlu tunjuk protes keluar Dewan.

“Isunya kecil saja. Apatah lagi ucapan itu pula sebagai tanda hormat dan penghargaan kepada Agong, saya tidak nampak ia satu kesalahan. Kadangkala saya lihat pembangkang ini suka memperbesarkan isu kecil dan akhirnya buang masa perjuang perkara yang sia-sia,” katanya.

Pada 28 Februari, AP pembangkang sekali lagi mencuri tumpuan di Dewan Rakyat apabila wakil dari Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, terkhilaf menyebut nama Sultan Ibrahim sebagai Sultan Iskandar, iaitu nama Almarhum bapa beliau, ketika membahaskan titah diraja.

Namun, menyedari kesilapan itu beliau menyatakan permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat pada 29 Februari.

Apapun, sehingga 27 Mac nanti, banyak agenda penting yang akan dibentangkan di Parlimen dan diharap semua AP, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang, dapat memainkan peranan sebaik-baiknya membawakan suara rakyat di Dewan Rakyat.

Banyak isu penting perlu dibincangkan dan diputuskan, terutama soal ekonomi dan kos sara hidup yang meresahkan rakyat sekarang ini.

Sebagaimana pesan Sultan Ibrahim, semua 222 AP bertanggungjawab dalam menumpukan usaha membela nasib hidup 33 juta rakyat Malaysia. Berhenti berpolitik dan teruslah berganding bahu bekerja bersama-sama untuk membangunkan negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >