Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hadi Awang kekal jawatan Presiden PAS bagi 2025-2027, menang tanpa bertanding

Sep 4, 2025 | 12:59 PM
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto HARAKAH DAILY

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, kekal memegang jawatan itu bagi sesi 2025-2027 selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti sempena Muktamar PAS kali ke-71, pada September.

Ahli Parlimen (AP) Marang (Terengganu) berusia 78 tahun itu terus diberi kepercayaan untuk menerajui parti, yang memasuki tahun ke-23 kepimpinannya sebagai presiden sejak 2002.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud, turut mengumumkan jawatan Timbalan Presiden kekal disandang AP Kubang Kerian (Kelantan), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang turut menang tanpa dicabar.

Wan Rohimi berkata pengesahan itu dibuat selepas semua jawapan tawaran pencalonan diterima dan diteliti jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat pada 2 September lalu.

“Bagi tiga jawatan Naib Presiden, ia juga dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang semasa iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah; dan AP Bagan Serai (Perak), Datuk Idris Ahmad.

“Bagi jawatan ini, empat calon layak bertanding, namun satu calon menolak pencalonan,” katanya dalam kenyataan pada 4 September. 

Untuk rekod, seorang lagi yang dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Bagaimanapun beliau menolak pencalonan kali ketiga bagi jawatan itu.

Beliau sebaliknya menegaskan pendirian untuk bertanding mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat bagi penggal 2025-2027.

Wan Rohimi berkata tiga lagi jawatan utama dalam parti yang menang tanpa bertanding ialah AP Pokok Sena (Kedah), Datuk Ahmad Yahaya sebagai Ketua Dewan Ulama PAS; AP Alor Setar (Kedah), Encik Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS; dan mantan Senator Dewan Negara, Cik Nuridah Salleh, sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS.

“Keseluruhan calon bagi jawatan dalam Dewan Ulama PAS Pusat bagi sesi 2025-2027 adalah menang tanpa bertanding, justeru tiada apa-apa pemilihan bagi Dewan tersebut.

“Manakala bagi Jawatankuasa Kerja (JK) PAS Pusat, Pemuda dan Muslimat bagi sesi 2025-2027, pemilihan akan melibatkan peringkat Jawatankuasa Kerja sahaja,” katanya. Seramai 38 calon layak bertanding bagi jawatan itu.

Muktamar dan Konvensyen PAS ke-71 akan berlangsung bermula 11 hingga 16 September ini di Kompleks PAS Kedah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg