Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tradisi PAS kekalkan pemimpin sehingga akhir hayat

Jul 15, 2025 | 11:36 AM
DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN, pas
Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto fail

Dalam sejarah Parti Islam SeMalaysia (PAS), kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan, biasanya jawatan utama dalam parti itu akan disandang oleh individu berkenaan sehingga mereka meninggal dunia.

Justeru, kata Setiausaha Agung PAS itu, tidak timbul isu sama ada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mahu berundur atau kekal menerajui parti.

“Daripada pemerhatian kita secara dekat, sepatutnya tak timbul isu Tok Guru (Abdul Hadi) tak nak bertanding.

“Tak pernah ada (isu berundur daripada jawatan presiden), cuma andaian-andaian pihak tertentu yang mungkin mereka nampak Tok Guru tak sihat dan sebagainya,” katanya kepada Malaysiakini di Putrajaya pada 15 Julai.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi mengenai masa depan Tan Sri Abdul Hadi sebagai pemimpin PAS ketika beliau dilihat agak uzur.

Khabar angin itu semakin kuat apabila beberapa pemimpin kanan PAS membuat kenyataan keras – termasuk melalui pertubuhan Geng Ustaz – yang mengecam pihak tertentu kerana dianggap mahu “melanggar presiden”.

Presiden Geng Ustaz, yang juga bekas calon PAS dalam pilihan raya umum 2018, Encik Ahmad Dusuki Abd Rani, menggelar pihak yang mengganggu “kepimpinan ulama” dalam PAS sebagai “syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin”.

Untuk rekod, desas-desus itu muncul ketika PAS bakal mengadakan pemilihan parti dan menuju kepada muktamar di Kedah pada September nanti.

Bagaimanapun, kemungkinan itu kini dimatikan selepas Tan Sri Abdul Hadi sendiri memberi gambaran untuk terus kekal sebagai presiden parti yang disandangnya sejak 22 tahun lalu.

Datuk Takiyuddin berkata dalam sejarah PAS selama ini menyaksikan Allahyarham Fadzil Noor memegang jawatan presiden sehingga beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002; manakala Allahyarham Nik Abdul Aziz menjadi mursyidul am – pembimbing utama dalam kalangan pemimpin – sehingga ke akhir hayatnya pada 2015.

“Dalam Islam ini, selagi kita mampu, kita terus berjuang untuk Islam,” katanya, sambil memberikan contoh amalan sembahyang.

Menurutnya, seseorang Muslim yang mendirikan sembahyang boleh melaksanakannya mengikut keadaan semasa termasuk jika mengalami keuzuran.

“Kalau kita tak boleh berdiri, boleh duduk; tak boleh duduk, kita tidur (berbaring). Jadi itu konsep diambil Tok Guru (Abdul Hadi).

“Jadi kita rasa telah menyelesaikan desas-desus mengatakan apa-apa perubahan kepimpinan PAS. Saya yakin tidak ada, terutamanya dua jawatan teratas iaitu presiden dan timbalan,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen (AP) Kota Bharu itu, bagi jawatan presiden hingga ke ahli Jawatankuasa PAS Pusat, seseorang yang ingin bertanding memerlukan sekurang-kurangnya 20 pencalonan untuk layak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg