Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hadi Awang stabil, selamat jalani pembedahan jantung

Jun 18, 2025 | 2:54 PM
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilapor mengalami masalah kesihatan dan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilapor mengalami masalah kesihatan dan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. - Foto fail

PETALING JAYA (Selangor): Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, selamat menjalani satu prosedur pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Jun.

Perkara itu disahkan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sambil menyifatkan kejayaan pembedahan itu bukti Malaysia memiliki kepakaran dan kemudahan perubatan setanding negara maju.

Tuan Ibrahim berkata beberapa pimpinan kanan PAS termasuk beliau telah diberi taklimat oleh pasukan pakar IJN yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan pembedahan berkenaan.

“Bagi pihak PAS, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, khususnya pasukan pakar dan jururawat di IJN.

“Tidak dilupakan juga kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan Tuan Guru Presiden sepanjang beliau menerima rawatan di IJN,” katanya di Facebook, lapor portal berita Free Malaysia Today.

Sementara itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendoakan Tan Sri Hadi diberi kesihatan baik yang berterusan selepas menjalani prosedur rawatan di IJN.

Datuk Anwar menitipkan doa itu menerusi hantaran di laman X pada 18 Jun, selepas berkongsi ciapan media Malaysia yang memaklumkan Tan Sri Hadi berada dalam keadaan baik selepas menjalani rawatan di IJN.

Anak Tan Sri Hadi - Dr Muhammad Khalil, berkata Ahli Parlimen (AP) Marang (Terengganu) itu dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur rawatan di IJN.

Dr Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, berkata prosedur rawatan dijalani AP itu berjaya dilaksanakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk (Terengganu) bagaimanapun tidak memperincikan bentuk prosedur berkenaan.

Ditanya mengenai keadaan terkini bapanya, beliau hanya menjawab ringkas bahawa Tan Sri Hadi berada dalam keadaan baik dan memohon orang ramai terus mendoakan kesembuhan pemimpin PAS itu.

Kesihatan Tan Sri Hadi merosot sejak beberapa tahun lalu dengan presiden PAS itu menjalani dialisis dan pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali.

Tan Sri Hadi juga pernah menerima rawatan susulan di IJN dan kali terakhir dilaporkan menjalani prosedur rawatan berkaitan pada 5 Januari 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg