Topik diikuti
Pergi ke BHkuHak Melayu N Sembilan terancam jika Umno tiada dalam kerajaan negeri
Hak Melayu N Sembilan terancam jika Umno tiada dalam kerajaan negeri
Khairy Jamaluddin tuduh Menteri Besar tidak berkuasa, berada di bawah kawalan DAP
Hak Melayu N Sembilan terancam jika Umno tiada dalam kerajaan negeri
SEREMBAN: Mantan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin menggesa pengundi Melayu/Islam di Negeri Sembilan kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 akan datang.
Dalam ucapan pelancarannya di Mesyuarat Pemuda dan Puteri Umno Seremban, Negeri Sembilan, pada 5 Julai, Encik Khairy berkata hanya Umno-BN yang boleh menjaga kepentingan Melayu, yang didakwa gagal dilakukan oleh Menteri Besar dari Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Merujuk kepada komposisi kaum wakil rakyat PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Encik Khairy berkata orang Melayu/Islam bernasib baik kerana 14 wakil rakyat Umno pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri sebelum pembubarannya pada 5 Jun.
“Apabila ada empat daripada 31 DUN adalah Adun Melayu, rasa-rasanya suara siapa lagi besar dalam kerajaan tersebut?
“Kita bukan soal perkauman, tapi sudah pasti wakil rakyat kaum lain akan perjuang kaum mereka.
“Tapi kalau empat saja orang Melayu nak perjuangkan isu bangsa kita, mana mungkin suara mereka tidak tenggelam dalam keadaan tersebut.
“Sebab itu nasib baik pilihan raya lalu kita terpaksa gabung dengan mereka. Sebab yang bawa suara pertahan orang Melayu di Negeri Sembilan adalah 14 Adun BN,” kata Encik Khairy kepada kira-kira 200 perwakilan, lapor portal berita Malaysiakini.
Mantan Ahli Parlimen (AP) Rembau itu juga menuduh Datuk Aminuddin tidak berkuasa dan berada di bawah kawalan Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang memegang jumlah kerusi terbanyak di kalangan parti PH.
PH dan BN memasuki PRN Negeri Sembilan 2023 di bawah pakatan pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan dan masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi.
Daripada 17 kerusi PH, 11 kerusi dipegang oleh DAP, lima kerusi PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah).
Bersama-sama, gabungan itu membentuk kerajaan negeri, manakala Perikatan Nasional (PN) kekal dalam pembangkang selepas hanya memenangi lima kerusi.
Untuk rekod, PH sebelum ini memberi laluan kepada BN di kerusi Lenggeng yang majoritinya orang Melayu, yang sebelum ini disandang oleh wakil dari Amanah.
Bagaimanapun, hubungan antara PH dengan BN di Negeri Sembilan menjadi tegang pada April berikutan krisis institusi Adat dan Raja antara empat undang dan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
