KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, dijangka menyertai semula Umno sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada hujung November.
Sumber berkata mantan Ahli Parlimen (AP) Rembau itu yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM sudah mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi Umno khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali ke pangkuan parti itu.
Isyarat restu itu disampaikan sendiri Datuk Ahmad Zahid kepada Encik Khairy, dikenali juga sebagai KJ, ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, pada 28 Oktober lalu.
“Pada pertemuan itu Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli Umno.
“Khairy dijangka membantu kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti. Ini memandangkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan parti nanti adalah seusia dan rakan-rakan politiknya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sumber itu berkata Encik Khairy juga dikatakan sudah dipertimbangkan untuk dinamakan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mewakili kawasan Parlimen Kepala Batas.
“Parlimen itu adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Sementara itu, sumber parti yang dihubungi memaklumkan bahawa setakat ini Umno belum menerima sebarang surat permohonan daripada Encik Khairy untuk menyertai semula parti.
Penyertaan semula beliau ke dalam Umno dijangka memberi momentum baru kepada hala tuju parti itu yang kini berusaha menambat kembali sokongan orang Melayu, khususnya anak muda.
Pada Januari 2023, Encik Khairy dipecat daripada Umno ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15, namun sejak itu, beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya kepada Umno.
Pada PRU15, Encik Khairy yang dipertaruhkan BN di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh, biarpun tewas, masih mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah penguasaan undi besar diperoleh PH di sana.
Encik Khairy mula menyertai Kabinet di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, menggalas portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, dengan rekod cemerlang mengendali Sukan SEA 2017, selain merintis Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) dalam misi negara meraih emas di sukan Olimpik serta Program Pembangunan Bola Sepak Negara.
Beliau juga pernah ditugaskan menjaga portfolio sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, terbabit secara langsung dalam program pembangunan Aplikasi MySejahtera serta perolehan vaksin negara ketika pandemik Covid-19.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Encik Khairy diamanahkan sebagai Menteri Kesihatan dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan pemberian vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg