Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bertekad mempertahankan kerusi yang disandangnya sambil mengingatkan tiada pertandingan boleh dianggap mudah kerana apa sahaja boleh berlaku sepanjang tempoh berkempen.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu bakal berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Encik Nor Hafiz Roslan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Ketika ditemui media sejurus selesai proses penamaan calon di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam pada 27 Jun, Datuk Onn Hafiz berkata beliau dan jentera BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan rakyat sepanjang tempoh kempen.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyeru semua calon supaya mengamalkan kempen yang matang, berhemah dan saling menghormati sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyeru semua calon supaya mengamalkan kempen yang matang, berhemah dan saling menghormati sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Dalam keadaan pilihan raya ini, apa sahaja boleh berlaku. Jadi kita akan berjuang habis-habisan untuk mendapat undi daripada rakyat,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana proses penamaan calon di Machap berjalan lancar, selain menerima laporan keadaan di pusat penamaan calon lain di seluruh Johor juga terkawal.

“Alhamdulillah, sesi hari ini berjalan dengan lancar dan laporan yang saya terima daripada kawasan lain juga sama. Kita berharap momentum ini dapat diteruskan sehingga Hari Mengundi pada 11 Julai nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua calon supaya mengamalkan kempen yang matang, berhemah dan saling menghormati sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

“Saya mengucapkan ‘Selamat Maju Jaya’ kepada semua calon yang bertanding. Kita bertanding secara sihat, dengan tertib dan adab, serta meneruskan kempen dalam suasana yang harmoni,” katanya.

Terdahulu, Datuk Onn Hafiz menyerahkan borang pencalonannya pada 9.10 pagi, dengan diiringi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin; serta mantan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Beliau turut diiringi kira-kira 300 penyokong BN yang berhimpun seawal 7 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Pada PRN Johor 2022, Datuk Onn Hafiz mempertahankan kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi selepas menewaskan tiga pencabar dalam pertandingan empat penjuru.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri), sempat meluang masa untuk menghadiri majlis perkahwinan penduduk, Encik Ahmad Hakim Hasan, 25 tahun; dan Cik Aliah Zulaikha Mohd Nizam, 22 tahun, di Dewan Terbuka Jalan Sekolah, Kampung Seri Lalang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri), sempat meluang masa untuk menghadiri majlis perkahwinan penduduk, Encik Ahmad Hakim Hasan, 25 tahun; dan Cik Aliah Zulaikha Mohd Nizam, 22 tahun, di Dewan Terbuka Jalan Sekolah, Kampung Seri Lalang. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Selepas selesai proses penamaan calon, beliau turut meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan pasangan mempelai yang juga penduduk, Encik Ahmad Hakim Hasan, 25 tahun; dan Cik Aliah Zulaikha Mohd Nizam, 22 tahun, di Dewan Terbuka Jalan Sekolah, Kampung Seri Lalang.

Tirai PRN Johor ke-16 dibuka secara rasmi pada 27 Jun apabila proses penamaan calon selesai di 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 172 calon layak bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN, dengan tiada sebarang pencalonan ditolak.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata daripada jumlah itu, seramai 138 ialah calon lelaki manakala 34 lagi calon wanita.

“Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 33 calon; Parti Bersama Malaysia (15); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (empat); enam calon Bebas; manakala Parti Orang Asli Malaysia (Poam); dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Dari segi corak pertandingan, sebanyak 27 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru; diikuti 14 kerusi satu lawan satu; 12 kerusi empat penjuru; dan tiga kerusi lima penjuru.