SHAH ALAM: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Encik Najib Tun Razak, adalah hak bekas Perdana Menteri itu.

Namun, Datuk Anwar menegaskan prosiding undang-undang lain yang masih berjalan terhadapnya, termasuk rayuan sabitan dan hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB), masih diteruskan.

Datuk Anwar berkata setiap banduan berhak untuk mengemukakan petisyen pengampunan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan, dengan keputusan akhir terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Seperti saya sebut pada 2025 lalu, setiap banduan berhak memohon pengampunan dan perkara itu kini digunakan. Bukan hanya untuk bekas teman kita dahulu.

“Sesiapa pun mempunyai hak untuk memohon supaya dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Namun, apa yang saya hendak tegaskan, ia tidak menghalang kita daripada meneruskan kes-kes yang masih berjalan di mahkamah.

“Kes 1MDB masih berjalan dan begitu juga dengan kes sivil,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis Bersama, di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di Shah Alam, pada malam 20 September.

Pada 18 September lalu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersetuju memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta ($15.62 juta).

Datuk Anwar menegaskan dalam proses pengampunan, nasihat daripada pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri dan Peguam Negara turut perlu diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat.

“Apakah nasihat itu kepada keputusan (pengampunan) berkenaan?... tidak. Saya tetap mengingatkan mengenai kes yang masih berjalan.

“Saya tetap mengingatkan denda itu terlalu besar. Saya tetap mengingatkan kesannya terhadap keyakinan kepada sistem dan pandangan antarabangsa juga perlu diberikan perhatian.

“Itu yang saya sampaikan. Saya faham, bidang kuasa tetap perlu dihormati,” katanya.

Laporan media setakat petang 21 September, melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, memaklumkan Encik Najib masih belum membayar denda RM50 juta yang dikenakan.

“Setakat ini keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Bayaran perlu dilangsaikan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes bermula dan dibicarakan di sana.

“Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Datuk Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya.

Peguam mewakili Encik Najib, Tetuan Shafee & Co, pada 20 September memaklumkan, sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan.

Justeru, katanya, keupayaan Encik Najib untuk memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah itu, bergantung sebahagiannya kepada perkara yang berada di luar kawalan beliau.

Menurut beliau, Encik Najib akan kekal dalam Penjara Kajang, Selangor, sehingga denda RM50 juta yang disyaratkan ke atasnya untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, dibayar kepada mahkamah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya, Anuar Bakri Abdul Salam, bersama pegawai Jabatan Penjara dilaporkan berada di kediaman Encik Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada 21 September.

Ia bagi membincangkan persiapan serta prosedur berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.