Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir 68% kebakaran gambut Pengerang dipadam
Asap tebal jejas jarak penglihatan di Jalan Punggai-Sebana Cove
PENGERANG (Johor): Sebanyak 34.8 hektar atau 67.7 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran tanah gambut seluas 51.4 hektar di Jalan Pintasan Punggai-Sebana Cove telah dapat dipadamkan setakat 8 pagi, 27 Ogos.
Angka itu menunjukkan pertambahan 9.8 hektar kawasan yang berjaya dipadamkan berbanding 25 hektar atau 48.6 peratus yang dilaporkan pada 26 Ogos.
Menurut laporan situasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Sektor B seluas 15.8 hektar kini telah dipadamkan sepenuhnya.
Pemantauan berterusan dilakukan di sektor itu bagi mengesan tompokan api dan mengelakkan kebakaran berulang.
Tumpuan operasi kini diberikan kepada Sektor A seluas 35.6 hektar yang terletak di tepi jalan utama.
Sebanyak 19 hektar atau 53.4 peratus daripada sektor berkenaan telah dipadamkan, manakala baki 16.6 hektar masih memerlukan tindakan.
“Operasi pemadaman dan kawalan pemutus api berjalan dengan lancar. Pasukan bomba komited melaksanakan kawalan selama 24 jam.
“Pemantauan menggunakan dron juga masih dilakukan bagi merakam keadaan semasa kawasan kebakaran,” menurut laporan itu.
Asap tebal dilaporkan menyelubungi Jalan Pintasan Punggai-Sebana Cove sehingga mengehadkan jarak penglihatan dan membahayakan pengguna jalan raya.
Orang ramai yang melalui jalan tersebut dinasihatkan memandu dengan berhati-hati.
Operasi di Sektor A dibahagikan kepada tiga bahagian dengan tumpuan pemadaman diberikan di sepanjang bahu jalan.
Pasukan menjalankan operasi pemadaman langsung menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air, pam mudah alih, takungan air dan lori tangki.
Bagaimanapun, pemadaman tidak dapat dilakukan jauh ke dalam kawasan hutan disebabkan faktor keselamatan dan kekurangan pencahayaan.
Antara cabaran utama operasi ialah cuaca panas serta kering, angin kencang, laluan masuk yang sukar dan ketiadaan sumber air terbuka berhampiran lokasi.
Suhu tinggi turut mempercepat penyebaran bara api dalam lapisan gambut, manakala bahu jalan yang sempit dan keadaan tanah lembut menyukarkan pergerakan anggota serta jentera.
Sebanyak 12 lori tangki digunakan untuk membekalkan air secara ulang-alik ke kawasan kebakaran.
Tiga jengkaut pula dikerahkan untuk membina parit dan pemutus api bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
Operasi melibatkan dua pegawai kanan dan 36 anggota bomba, dibantu sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta 14 kakitangan Ranhill SAJ.
Aset lain yang digunakan termasuk dua jentera pemadam dan tiga kenderaan utiliti.
Kebakaran itu dilaporkan pada 11.25 pagi, 24 Ogos, dan pasukan bomba tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Tinggi II Abd Rahim Abdul Ranil dengan Timbalan Penguasa Bomba II Suhailah Hasan sebagai komander operasi kanan.
Tiada mangsa terperangkap atau mengalami kecederaan dan tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
