PENGERANG (Johor): Kawasan kebakaran tanah gambut di Jalan Pintasan Sebana Cove-Punggai di sini kini dianggarkan seluas 51.4 hektar – dengan keluasan sekitar 2.5 kali taman tema, Universal Studios Singapore.

Ia meningkat daripada anggaran awal 29 hektar.

Menurut laporan keadaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor setakat 8.30 pagi, 25 Ogos, kebakaran itu melibatkan dua kawasan berasingan.

Sektor A seluas 35.6 hektar terletak di tepi jalan raya, manakala Sektor B berkeluasan 15.8 hektar berada berhampiran sempadan kawasan estet.

Daripada keseluruhan kawasan terjejas, seluas 15 hektar atau 29.2 peratus telah berjaya dipadamkan.

Ia meliputi lima hektar di Sektor A dan 10 hektar di Sektor B.

“Tiada titik panas baru dikesan di lokasi kebakaran. Bagaimanapun, operasi pemadaman masih dijalankan,” kata laporan itu.

Kebakaran terbuka melibatkan kawasan hutan paya gambut itu dilaporkan pada 11.25 pagi, 24 Ogos. Pasukan bomba tiba di lokasi sekitar lapan minit kemudian.

Seramai 21 anggota dan petugas terlibat dalam operasi tersebut, termasuk 16 anggota JBPM, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seorang pengendali jengkaut.

Pasukan JBPM terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove, Punggai, Sungai Rengit dan Bandar Penawar.

Operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba II Baharuddin Idris.

Pasukan pemadam menjalankan operasi langsung menggunakan aliran hos sepanjang 91 meter (300 kaki) dengan dua pancutan air, pam mudah alih serta bekalan daripada lori tangki air.

Aset lain yang digunakan termasuk dua jentera bomba, sebuah lori tangki air, empat kenderaan pacuan empat roda, sebuah jengkaut, dua takungan air, dua pam mudah alih dan tiga jana kuasa.

Antara cabaran yang dihadapi pasukan ialah tiupan angin agak kuat, laluan masuk yang sukar, sumber air terhad serta cuaca panas dan kering.

Tiada kecederaan dilaporkan dan tiada mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Peralatan yang digunakan sepanjang operasi turut dilaporkan tidak mengalami kerosakan.