KUALA LUMPUR: Seramai 8,945 mangsa membabitkan 2,837 keluarga, berlindung di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri di seluruh negara, setakat 7 pagi, 18 Disember.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), angka itu membabitkan 2,887 wanita; 2,865 lelaki; 2,905 kanak-kanak; 288 bayi; 816 warga emas dan 296 individu kurang upaya (296).
Pahang merekodkan PPS paling banyak beroperasi, iaitu sebanyak 69 kemudahan awam membabitkan lima daerah dengan menempatkan seramai 8,148 mangsa daripada 2,618 keluarga.
Ini diikuti tiga PPS dibuka di satu daerah dekat Johor, dengan 347 mangsa daripada 90 keluarga.
Terengganu pula mengaktifkan 11 PPS dengan dua daerah terbabit dengan seramai 385 mangsa daripada 118 keluarga, diikuti 47 mangsa (lapan keluarga) di satu PPS di Selangor; dua PPS di Sarawak (18 mangsa) dengan masing-masing membabitkan satu daerah.
Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mencatat paras air di sembilan stesen di Pahang, Terengganu, Johor dan Sarawak, berada pada tahap bahaya.
Dua stesen di Pahang merekodkan paras air bahaya iaitu di Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan, lapor Harian Metro.
Sementara itu di Terengganu, lima stesen mencatatkan paras air bahaya iaitu tiga di Kemaman, yang membabitkan dua stesen di Sungai Kemaman.
Dilaporkan paras air bahaya direkodkan di Jambatan Air Putih dan Rumah Pam Paya Paman serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu.
Satu stesen di Johor turut merekodkan paras air bahaya iaitu di Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat, manakala Sarawak direkodkan di Miri, yang membabitkan stesen Long Teru dan Marudi.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tiga PPS dibuka di daerah Mersing, susulan keadaan cuaca hujan berlarutan, melibatkan pemindahan 90 keluarga dengan seramai 347 mangsa.
Beliau berkata PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching dan SK Labong di Endau, bagi menempatkan penduduk terjejas serta memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan, semua operasi menyelamat dan pengurusan bantuan sedang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing, dengan kerjasama semua agensi berkaitan.
“Saya juga meminta Pegawai Daerah Mersing, Encik Jamil Hasni Abdullah, bersama pasukan jawatankuasa berkenaan supaya sentiasa turun padang melawat PPS bagi memantau keadaan semasa serta menyantuni mangsa yang terkesan,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan aspek kebajikan, keselamatan serta keperluan asas mangsa diberi perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh warga Johor, khususnya penduduk di kawasan berisiko, supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg