Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk bagi Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 17 Disember, dengan penduduk serta pihak berkuasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan bimbang risiko gelombang kedua banjir.
Menurut kenyataan MetMalaysia, daerah Mersing dan Kota Tinggi di Johor, diramal menerima hujan lebat berterusan tahap buruk, selain daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
MetMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada di beberapa daerah di Johor, merangkumi Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru; Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar); dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera).
Berikutan amaran itu, pihak berkuasa telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di negeri terbabit, termasuk aspek komunikasi dan operasi menyelamat mangsa sekiranya perlu berpindah.
Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata walaupun keadaan cuaca sukar dijangka secara tepat, keutamaan ketika ini adalah memindahkan penduduk lebih awal, khususnya bagi mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi.
“Kita tidak dapat menjangkakan dengan tepat tetapi gelombang ini dijangka berlaku di Pantai Timur dan adalah gelombang kedua yang akan membabitkan Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.
“Yang penting ialah sistem yang telah diwujudkan dari segi kesiapsiagaan dan amaran awal bagi memastikan pemindahan penduduk dapat dilakukan lebih awal untuk mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan dokumen dan menyediakan persiapan secukupnya di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Kementerian Komunikasi juga telah bersedia pada tahap tinggi bagi memastikan aspek kelancaran komunikasi dan capaian rangkaian tidak terganggu, dalam menghadapi kemungkinan banjir besar pada awal 2026.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tumpuan utama kementerian ialah memastikan pemulihan segera rangkaian komunikasi dan kesalinghubungan di kawasan terjejas kekal berfungsi serta bantuan diberikan kepada mangsa.
Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti riadah di pantai atau sungai bagi mengurangkan sebarang risiko keselamatan dan kehilangan nyawa.
Sementara itu, BHM turut melaporkan penduduk di Taman Aman, Kota Tinggi, telah membuat persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan banjir menyusuli amaran hujan tahap waspada hingga 17 Disember.
Suri rumah, Cik Zubaidah Rahmat, 61 tahun, berkata semua barangan di tempat rendah dalam rumahnya sudah dialihkan ke atas rak besi.
“Amaran hujan dan banjir sudah diberitahu awal, jadi saya memang sudah bersiap mengemas menghadapi banjir. Dokumen penting pula disimpan di dalam kereta.
“Sebelum ini, saya menyimpannya di bilik tingkat atas. Namun ketika banjir 2006, air naik sampai tingkat atas,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg