Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor sedia lebih 1,100 pusat pemindahan, peruntukan RM5.3j hadapi Monsun Timur Laut

Dec 16, 2025 | 1:32 PM
Johor, pusat pemindahan, banjir, Monsun Timur Laut
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail (tiga dari kanan), menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Kesang, Muar. - Foto FACEBOOK KHAIRIN-NISA ISMAIL

Kerajaan Johor telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut dengan menyediakan sebanyak 1,104 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di serata negeri, selain memperuntukkan dana berjumlah RM5.3 juta ($1.6 juta) bagi memastikan kesiapsiagaan bencana berada pada tahap optimum.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail, berkata semua PPS yang berdaftar mempunyai kapasiti menempatkan sehingga 268,788 mangsa dan telah dikenal pasti serta diteliti oleh Pejabat Daerah masing-masing.

“Ini kerana Pegawai Daerah berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah dan antara bangunan yang digunakan sebagai PPS termasuk sekolah rendah dan menengah.

“Ini termasuk sekolah agama rendah, dewan masyarakat, balai raya, rumah ibadat serta beberapa premis lain yang sesuai dan selamat untuk penempatan sementara mangsa bencana,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Selain itu, Johor turut mencatat sejarah sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Pusat Pemindahan Kekal (PPK), dengan dua PPK terletak di Dewan Arena Segi Tiga, Kota Tinggi dan Dewan Raya Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, yang mampu menempatkan seramai 1,075 mangsa pada satu-satu masa.

Cik Khairin-Nisa berkata Johor juga mempunyai stok sebanyak 11,650 unit khemah mudah alih atau collapsible tent (C-Tent) bagi kegunaan kecemasan.

“Selain bekalan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Johor turut menerima tambahan stok C-Tent hasil sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim,” ujarnya.

Dalam memastikan tindak balas bencana dapat dilaksanakan dengan pantas, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berada dalam mod bersiap sedia melalui pengoperasian pangkalan hadapan yang berfungsi sebagai pusat simpanan barangan keperluan bencana.

“Setakat ini, sebanyak 33 pangkalan hadapan telah diwujudkan di seluruh Johor, dengan empat daerah dikenal pasti sebagai lokasi utama iaitu Segamat dengan 10 pangkalan hadapan, Kluang sebanyak tujuh, Mersing sebanyak 10 dan Kota Tinggi dengan enam pangkalan hadapan,” jelasnya.

Beliau memaklumkan bahawa pada 23 dan 24 Oktober, pasukan bencana negeri Johor telah menghantar stok barangan keperluan bencana ke daerah Mersing sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan banjir dan cuaca buruk sepanjang Monsun Timur Laut.

Dari segi kewangan, Cik Khairin-Nisa berkata kerajaan Johor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.3 juta bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, manakala Kerajaan Persekutuan menyalurkan tambahan RM1 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM5.3 juta.

Menurut beliau, persediaan menyeluruh itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya golongan rentan, sekiranya berlaku banjir atau bencana berkaitan cuaca sepanjang tempoh monsun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg