JOHOR BAHRU: Hanya dua kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pontian dan Mersing, dari 6 hingga 9 Januari.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Encik Ling Tian Soon, berkata seramai 938 mangsa banjir telah disaring oleh Jabatan Kesihatan Johor.
Beliau berkata mereka yang didapati positif kemudiannya ditempatkan di bilik berasingan di pusat pemindahan sama, di bawah seliaan pasukan perubatan dan kesihatan.
Kemudahan itu disediakan di semua pusat pemindahan yang masih beroperasi, lapor The Star.
“Sebanyak 61 kes penyakit berjangkit telah dikesan, iaitu 53 kes jangkitan pernafasan akut, dua kes konjunktivitis dan tiga kes masing-masing penyakit kulit dan gastroenteritis akut.
“Kesemua itu membabitkan mangsa banjir di seluruh negeri,” kata Encik Ling wadah media sosial, Facebook.
Beliau menasihatkan mangsa banjir supaya berhati-hati dengan penyakit bawaan air, dan menjaga kebersihan serta menjaga kebersihan kediaman dan persekitaran mereka.
Encik Ling berkata tiga klinik terjejas oleh banjir di Kota Tinggi iaitu Klinik Desa Semanggar, Klinik Desa Batu 4 dan Petri Jaya, telah beroperasi semula, menurut akhbar itu yang memetik agensi berita rasmi, Bernama.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir, di kebanyakan daerah di Johor pada lewat 10 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg