Sedang ramai mengeluh tentang kenaikan kos sara hidup terutama harga makanan yang semakin tinggi, seorang peniaga di Sungai Buloh, Selangor, tampil dengan tawaran luar biasa – bufet makan tengah hari tanpa had hanya RM7 ($2.12) sepinggan!
Hanie’s Cafe yang terletak di Bukit Rahman Putra – kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur di luar waktu sesak – menyajikan lebih 40 lauk berasaskan ayam, daging, ikan dan makanan laut yang dimasak dengan pelbagai resipi kampung.
Ternyata, ‘harga tidak masuk akal’ ditawarkan Hanie’s Cafe membuatkan bufet restoran yang mungkin termurah di Malaysia ini menjadi buah mulut ramai dan sentiasa dipenuhi pelanggan.
Pemilik Hanie’s Cafe, Cik Darish Hanie Hatta, 47 tahun, berkata beliau tidak menyangka konsep bufet RM7 yang dimulakan sejak 2021 mendapat sambutan luar biasa pelanggan dari serata Malaysia, malah sejauh Perlis dan Kelantan.
“Ramai terkejut boleh makan sepuasnya dengan hanya RM7. Ada yang rasa kasihan, bimbang saya tak untung, tetapi saya buat ini dengan niat bantu ringankan beban belanja orang ramai,” katanya ketika ditemui Berita Minggu di kedainya.
Kongsi Cik Darish Hanie yang mesra disapa Kak Hanie, idea memperkenalkan bufet mampu milik itu tercetus ketika ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.
“Ketika itu ramai yang terjejas hingga ada terpaksa mencatu perbelanjaan makan keluarga. Daripada situlah timbul kesedaran untuk lakukan sesuatu bagi membantu orang ramai.
“Jadi sebagai peniaga makanan, inilah sumbangan kecil yang mampu saya lakukan untuk bantu masyarakat,” katanya.
Namun kata Kak Hanie, bagi mengelakkan pembaziran makanan, setiap pelanggan tertakluk kepada syarat perlu membayar harga dua kali ganda daripada RM7, sekiranya terdapat makanan tidak habis di dalam pinggan.
“Sebab itu kami akan datang ke meja dan kira selepas mereka selesai makan untuk pastikan pelanggan ambil dalam kadar yang mereka mampu habiskan dan tiada pembaziran,” jelasnya.
Ketika kunjungan BM, Hanie’s Cafe sesak dengan pelanggan, malah ada yang sanggup menunggu hampir sejam di luar kedai berikutan operasi terpaksa dihentikan sementara sekitar 2 petang bagi membolehkan Kak Hanie memasak dan menambah lauk yang telah habis selepas kedai ‘diserang’ pelanggan.
“Inilah antara sebab saya boleh buat jualan bufet makan tengah hari RM7. Saya tidak menggajikan pekerja. Hanya suami dan anak yang membantu.
“Daripada proses menyediakan bahan mentah untuk masakan, sediakan pesanan minuman, membasuh pinggan mangkuk dan membersihkan kedai, semuanya kami lakukan sendiri.
“Bab memasak memang saya kendalikan sepenuhnya. Sebab itu pernah beberapa kali saya terpaksa tutup sementara sekitar setengah jam hingga 45 minit untuk memasak semula lauk yang sudah licin seawal tengah hari,” katanya.
Setiap hari Kak Hanie memasak lebih 100 ekor ayam, 50 kilogram ikan antaranya bawal, kembung, tilapia, dan keli serta makanan laut seperti lala dan kupang.
Katanya, antara lauk kegemaran pelanggan termasuklah gulai patin tempoyak, kupang pedas dan paru sambal. Turut disediakan pelbagai jenis sambal seperti tempoyak, belacan, budu, sambal hijau dan merah bagi membangkit selera.
Kak Hanie berkata beliau bertuah kerana setakat ini memperoleh bekalan bahan mentah terus daripada pembekal pada harga rendah. Malah, kadangkala ada pihak turut menyumbang bahan mentah untuk berkongsi pahala sedekah lantaran harga makanan murah ditawarkan kedainya
“Saya percaya, apabila kita permudahkan urusan orang, Allah akan permudahkan urusan kita. Rezeki datang daripada pelbagai arah jika kita ikhlas dan berniat baik dalam berniaga. Insya-Allah selagi boleh saya teruskan begini,” katanya.
Walaupun berdepan margin keuntungan yang tipis, beliau gembira melihat pelanggan menikmati makanan hingga licin, dan menganggap itu sebagai kepuasan sebenar dalam berniaga.
“Dalam 10 orang, mungkin dua atau tiga saja yang menambah beberapa kali dan ambil lauk penuh pinggan. Yang lain bimbang kalau tak habis kena bayar lebih, justeru mereka ambil berpada-pada. Jadi keuntungan itu masih ada.
“Alhamdulillah perniagaan ini juga jadi tular dan dapat banyak publisiti percuma, maka pelanggan pun tidak pernah putus,” katanya. Hanie’s Cafe dibuka dari 11 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Ahad.
Pelanggan, Sharifah Shaari, 54 tahun, sanggup memandu 35 minit dari pejabatnya di Kuala Lumpur bersama dua rakan, selepas mendengar tentang bufet mesra poket itu.
“Walaupun harganya murah, masakannya bukan biasa-biasa atau cincai, bahkan sedap, berperisa dan banyak pilihan. Memang tak percaya hanya RM7.
“Cuma terfikir bagaimana peniaga ini boleh dapat untung sebab terlalu murah. Saya pun makan ada tambah dan paling saya suka ialah menu bendi goreng, memang sedap,” katanya.
Jurujual, Encik Mizhael Kong, 35 tahun, berkata beliau terkejut masih ada peniaga sanggup menjual makanan pada harga yang dianggapnya sebagai ‘rugi’ ketika ekonomi semakin mencabar.
“Saya ambil lima jenis lauk dan semuanya sedap. Saya tercengang kerana bukan saja harganya murah, kedainya juga dihias cantik dan bersih,” katanya.
Dengan semangat berniaga yang ikhlas, Hanie’s Cafe bukan saja mengenyangkan perut pelanggan, tetapi juga menyentuh hati pelanggan – membuktikan bahawa dalam keadaan ekonomi mencabar, masih ada insan yang berniaga bukan semata-mata untuk untung, tetapi demi keberkatan dan nilai kemanusiaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg