ALOR GAJAH: Hasrat seorang bakal pengantin untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru pada 24 Mei.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa, Encik Mohamad Zahir Tahir, 33 tahun, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan bekerja sebagai tukang pembersihan di Akademi Laut Malaysia (ALAM) di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kaki dan dada.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Benelli RFS150i STD yang ditunggang seorang pelatih ALAM, Encik Md Rokonuzzaman Khan, 38 tahun, dari arah Pekan Kuala Sungai Baru menuju ke Kuala Linggi, hilang kawalan dan merempuh motosikal mangsa.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang merupakan anak bongsu dalam lima beradik maut di lokasi akibat kecederaan parah, manakala Encik Md Rokonuzzaman patah kedua-dua tangan dan kaki kiri.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi dalam laporan laman Sinar Harian.
Sementara itu, kakak mangsa, Cik Haslindah Tahir, 48 tahun, yang dihubungi berkata, arwah dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru selepas datang ke rumahnya di Sepang, Selangor untuk membincangkan hal perkahwinannya yang dirancang Ogos depan.
Menurutnya, sebelum bertolak pulang, mangsa yang selama ini bertanggungjawab menjaga ibu bapa mereka yang menghidap penyakit strok, sempat menunaikan solat Isyak.
“Arwah banyak berkorban jaga mak ayah yang sakit sehinggalah mereka meninggal dunia.
“Dalam perbincangan kami itu, dia mahu mengadakan kenduri kahwin secara sederhana dengan pihak perempuan yang dirancang pada 18 Ogos nanti, namun tak kesampaian,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg