KUALA LUMPUR: Pemandu Nissan Navara yang merempuh motosikal ditunggang suami isteri sehingga menyebabkan mereka tercampak dan mengalami cedera parah di Lebuhraya Utara Selatan dekat Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur, pada 10 Mei lalu, kini dipenjara enam bulan, menggantikan hukuman asal 30 hari.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy, pada 19 Mei, selepas menyemak semula hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada 13 Mei, ke atas jurujual aksesori kereta, K Darmaraju, 32 tahun.
Bagaimanapun, Hakim Muniandy mengekalkan denda RM12,000 ($3,613) serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun seperti yang diputuskan sebelum ini.
Pada 13 Mei lalu, Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman penjara 30 hari bermula daripada tarikh tangkapan pada 11 Mei serta denda RM12,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, selepas tertuduh mengaku salah memandu secara melulu di tempat kejadian, kira-kira 2.30 petang, 10 Mei.
Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohd Sabri Othman, dalam hujahnya pada 19 Mei menyatakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 yang dikenakan sebelum ini tidak mencerminkan matlamat pindaan undang-undang serta komitmen Parlimen dalam melindungi hak dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Denda RM12,000 sudah dibayar tertuduh. Hukuman penjara 30 hari berlalu sekelip mata berbanding penderitaan mangsa yang mengalami kecacatan kekal dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga serta rawatan hospital.
“Untuk makluman mahkamah, Cik Suhailiza Shamsudin, 49 tahun (pembonceng motosikal) masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan di kepala,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau turut memaklumkan kegagalan Mahkamah Majistret mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman telah menimbulkan kritikan orang ramai yang mendesak tindakan lebih tegas serta hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu Nissan Navara itu.
“Pihak pendakwaan memohon agar hukuman bersifat pencegahan dikenakan bukan saja sebagai pengajaran kepada tertuduh, tetapi juga kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan sama,” katanya.
Menurut Encik Mohd Sabri, kes itu seharusnya menjadi peringatan kepada orang ramai mengenai risiko, kesan dan akibat daripada pemanduan secara melulu sambil menegaskan kepentingan awam perlu diberi penekanan dalam kes seumpama itu.
Beliau turut meminta mahkamah mengambil kira tindakan tertuduh yang memandu secara berbahaya dengan memecut laju dan memotong motosikal dari arah kanan, sedangkan motosikal berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri paling kiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg