Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan rakyat, peniaga jelang Bajet Johor 2026

Bajet dijadual dibentang pada 13 November, bakal bentuk hala tuju pembangunan Johor untuk tahun mendatang
Oct 27, 2025 | 5:30 AM
Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad.
Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad. - Foto TOURISM JOHOR

Menjelang pembentangan Bajet Johor 2026 pada 13 November ini, tumpuan rakyat, usahawan dan pertubuhan perniagaan tertumpu kepada hala tuju yang bakal digariskan oleh kerajaan Johor.

Dalam suasana ekonomi yang sedang pulih serta tekanan kos sara hidup yang masih dirasai, bajet kali ini dianggap antara dokumen terpenting yang akan menentukan bentuk kesejahteraan rakyat dan hala pembangunan Johor untuk tahun-tahun mendatang.

Selepas tempoh ketidaktentuan sejagat yang menjejas harga barangan asas, kadar sewa, dan kuasa beli pengguna, rakyat Johor kini menaruh harapan agar kerajaan negeri memperkenal pendekatan lebih menyeluruh bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam masa sama, pengusaha perusahaan kecil serta pertubuhan ekonomi tempatan berharap agar dasar pembangunan kali ini mampu mengimbangi kepentingan sosial dan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

UTAMAKAN RAKYAT DAN MASA DEPAN JOHOR

Naib Presiden II Dewan Teraju Usahawan Johor, Datuk Abd Latif Bandi, menegaskan bahawa Bajet Johor 2026 perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat, termasuk cabaran langsung seperti peningkatan harga keperluan asas dan perumahan.

Naib Presiden II Dewan Teraju Usahawan Johor, Datuk Abd Latif Bandi.
Naib Presiden II Dewan Teraju Usahawan Johor, Datuk Abd Latif Bandi. - Foto ihsan DATUK ABD LATIF BANDI

Menurutnya, antara tumpuan utama kerajaan negeri ialah memperkukuh bantuan langsung yang menjamin kebajikan rakyat terutama bagi kumpulan B40 (bergaji rendah), M40 (bergaji pertengahan), warga emas, golongan kurang upaya dan keluarga rentan.

“Kerajaan perlu menambah peruntukan bagi pusat jagaan warga emas serta mempermudah skim penyewaan atau subsidi sewaan rumah bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Dalam masa sama, peluasan dana masyarakat dan inisiatif penjagaan kesihatan mental wajar dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan sosial di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau turut menambah bahawa kerajaan Johor perlu terus membantu rakyat mendepani tekanan kos sara hidup melalui peluasan subsidi dan bantuan pengangkutan awam yang dimampui di seluruh negeri.

“Bantuan seperti diskaun bil air dan elektrik bagi kategori domestik boleh membantu golongan sederhana.

“Jualan murah juga perlu diperluas ke kawasan pendalaman agar manfaatnya dirasai secara menyeluruh,” ujarnya.

Dalam bidang pendidikan pula, Datuk Abd Latif mencadangkan agar kerajaan Johor memperuntuk dana khusus untuk memperkasa program kaunseling dan latihan antibuli di sekolah.

“Dana masyarakat perlu diperluas bagi melibatkan pihak berkuasa tempatan, agensi dan sukarelawan dalam kempen sekolah selamat,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh keusahawanan Bumiputera melalui pembiayaan khas, latihan kontraktor tempatan serta keutamaan penyertaan dalam projek besar negeri seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link).

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo, pula berpendapat kerajaan negeri perlu menumpukan perbelanjaan kepada pembinaan serta naik taraf jalan raya yang sering sesak.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo. - Foto ihsan SEGAR RAJOO

“Keutamaan harus diberi kepada kawasan yang mengalami kesesakan teruk sebelum menumpukan kepada projek kecil.

“Langkah ini akan meningkatkan keberkesanan prasarana dan mengurangkan masa perjalanan rakyat,” katanya.

Beliau turut menggesa agar kerajaan memperkenalkan pusat tuisyen percuma buat keluarga berpendapatan rendah dengan memanfaatkan dewan masyarakat atau sekolah agar kos operasi dapat dijimatkan.

“Pilihan kelas secara dalam talian juga boleh diperluas supaya manfaatnya lebih meluas,” ujarnya.

Encik Segar turut mencadangkan agar tapak Pasar Karat di pusat bandar Johor Bahru dipindahkan ke lokasi kekal yang lebih tersusun.

“Pemindahan ini boleh membuka ruang baru kepada aktiviti ekonomi malam, menjadikan kawasan bandar lebih hidup.

“Dalam masa sama, tapak kekal untuk peniaga kecil boleh direka agar menarik minat pelancong dan penduduk tempatan,” katanya.

Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027.
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Dalam pada itu, Felow Akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Cik Syaza Soraya Sauli, berpandangan Bajet Johor 2026 juga perlu melihat aspek pembentukan generasi muda yang mencintai alam sekitar melalui pendidikan berteraskan alam semula jadi.

“Keprihatinan saya timbul kerana ramai kanak-kanak kini lebih banyak terdedah kepada dunia digital berbanding alam semula jadi, termasuk di Johor.

“Mereka menghabiskan lebih banyak masa di skrin berbanding di kawasan hijau, sedangkan negeri ini kaya dengan sumber alam yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran,” katanya.

Cik Syaza yang berpengalaman menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat, Australia dan Jepun, berkata pembelajaran berasaskan alam terbukti mampu membina keyakinan, kemahiran sosioemosi serta kesedaran terhadap pemeliharaan alam.

“Singapura juga telah melaksanakan inisiatif ‘No Child Leave Indoors’ melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pendidikan (MOE) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE).

“Hasil awal menunjukkan peningkatan kesejahteraan emosi dan hubungan lebih rapat antara kanak-kanak dengan alam,” jelasnya.

Menurutnya, Johor boleh membangunkan model tersendiri yang menekankan keunikan sumber alam, budaya dan identiti negeri.

PENGANGKUTAN CEKAP DAN PUSAT RIADAH

Dari sudut pandangan rakyat, pelbagai suara masyarakat menunjukkan keprihatinan terhadap isu prasarana bandar.

Seorang pekerja swasta, Encik Akmal Faiz, 31 tahun, berpendapat sistem pengangkutan awam Johor perlu dirancang semula secara menyeluruh seiring dengan penyempurnaan projek RTS Link menjelang akhir 2026.

Pekerja swasta, Encik Akmal Faiz, 31 tahun.
Pekerja swasta, Encik Akmal Faiz, 31 tahun. - Foto ihsan AKMAL FAIZ

“Jika melihat pembangunan pesat di sekitar pusat bandar Johor Bahru, kita akan dapati banyak projek pangsapuri tinggi sedang dibina.

“Tanpa sistem pengangkutan yang cekap, kesesakan akan meningkat dengan mendadak.

“Bas sedia ada tidak mencukupi, dan hentian bas pun dalam keadaan menyedihkan. Kita perlu sistem rel ringan atau sekurang-kurangnya laluan khas bas,” katanya.

Sementara itu, seorang penggiat seni dari Johor Bahru, Cik Keyin Tay, 37 tahun, menyuarakan pandangan bahawa pembangunan bandar seharusnya memberi tumpuan kepada aspek “bandar untuk manusia”.

Penggiat seni, Cik Keyin Tay, 37 tahun.
Penggiat seni, Cik Keyin Tay, 37 tahun. - Foto ihsan KEYIN TAY

“Johor Bahru perlu menjadi bandar yang boleh diteroka dengan berjalan kaki.

“Apabila laluan pejalan kaki selamat, tersusun dan bersambung antara kawasan budaya, tempat makan dengan pengangkutan awam, ia akan memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan.

“Perniagaan kecil, kafe, pasar malam dan seni jalanan semua akan mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berpendapat bandar yang membina budaya berjalan kaki bukan sahaja menarik pelancong, malah turut menyumbang kepada kesihatan awam dan kesejahteraan sosial.

“Sebuah kota yang baik bukan diukur pada lebarnya jalan, tetapi sejauh mana selesanya rakyat berjalan di atasnya,” ujarnya.

Pandangan sama turut dikongsi Cik Dania Khairina Hisammuddin, 32 tahun, yang berharap kerajaan negeri mempertingkat kemudahan taman permainan dan taman riadah.

Pekerja swasta, Cik Dania Khairina Hisammuddin, 32 tahun.
Pekerja swasta, Cik Dania Khairina Hisammuddin, 32 tahun. - Foto ihsan DANIA KHAIRINA HISAMMUDDIN

“Pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan pemaju supaya taman awam diselenggara sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Ia penting untuk kesejahteraan keluarga dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan Johor memperuntukkan dana untuk program kemasyarakatan antara generasi, membabitkan pelajar sekolah dengan warga emas.

“Ia bukan sekadar kerja khidmat masyarakat, tetapi usaha mendidik remaja agar menghargai warga tua,” katanya.

Sementara itu, melalui pemerhatian seorang penduduk dari Singapura, Encik Mohammed Thamrin Kamsan, 49 tahun, beliau berkata pembangunan di Johor tetap akan berlaku berikutan kedudukan rapat negeri itu dengan Singapura.

“Kemudahan seperti RTS Link membuktikan potensi besar pembangunan rentas sempadan.

“Namun, peningkatan pelancong dan pergerakan rentas negara menuntut sistem pengangkutan awam yang lebih tersusun agar tiada ruang untuk penyalahgunaan,” katanya.

S’PURA JADI CONTOH

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, ketika ditemui BH baru-baru ini memaklumkan kerajaan Johor sedang meneliti model bantuan kewangan masyarakat berasaskan sistem baucar, berinspirasikan pelaksanaan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri), melihat penggunaan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) ketika lawatan kerja ke Pasar Geylang Serai, Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri), melihat penggunaan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) ketika lawatan kerja ke Pasar Geylang Serai, Singapura. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

“Melalui sistem ini, bantuan kewangan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima dan boleh digunakan di gerai makanan serta kedai runcit tempatan.

“Ia bukan sahaja membantu golongan berpendapatan rendah, bahkan juga merancakkan ekonomi kecil,” katanya sambil memaklumkan bahawa sistem tersebut dijangka dibentangkan di dalam Bajet Johor 2026.

Beliau berkata perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Jabatan Kewangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sedang giat dijalankan bagi memastikan pelaksanaan sistem itu dapat disesuaikan dengan keperluan tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg