Kerajaan Johor terus memperkukuh hubungan strategik dengan Singapura dalam bidang perancangan bandar, perumahan dan pembangunan mampan melalui siri lawatan kerja rasmi ke Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) serta Lembaga Taman Negara (NParks) Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata lawatan ke URA memberi peluang kepada delegasi rasmi negeri meneliti pendekatan pembangunan bandar moden Singapura secara lebih mendalam, khususnya dalam konteks pelaksanaan dasar Maju Johor dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Lawatan ini susulan daripada kunjungan rasmi Menteri Besar Johor pada Ogos dan menjadi platform penting untuk memperhalusi dasar Maju Johor dalam konteks JS-SEZ,” katanya dalam kenyataan pada 15 Oktober.
Beliau berkata dalam sesi taklimat bersama Ketua Perancang URA, Cik Adele Tan, delegasi Johor meneliti pelan induk pembangunan Draf Pelan Induk 2025, konsep pembangunan menegak, pengurusan trafik bandar, serta integrasi antara perumahan, kemudahan awam dan sistem pengangkutan.
“Pendekatan menyeluruh yang diamalkan oleh URA memberi inspirasi kepada Johor untuk memperkukuh aspek perancangan jangka panjang, sejajar dengan misi menjadikan negeri ini berdaya huni, menyeluruh dan sejahtera,” katanya.
Menurutnya, Johor turut berminat mempelajari amalan terbaik Singapura dalam pembangunan semula bandar, pengindahan landskap, penyediaan ruang awam interaktif serta inovasi taman bumbung dan kawasan rehat umum yang mendorong kesejahteraan sosial.
“Pendekatan ini seiring dengan hala tuju Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 dan Agenda Bangsa Johor Bahagia yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, interaksi sosial dan kelestarian alam.
“Kerjasama ini akan diterjemahkan melalui projek berimpak tinggi di kawasan Iskandar Malaysia dan JS-SEZ yang bakal menjadi model pembangunan moden serta mampan di rantau ini,” katanya.
Datuk Mohd Jafni berkata delegasi Johor turut mengadakan lawatan kerja ke NParks, agensi yang menerajui pengurusan landskap bandar, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan hijau di Singapura.
Melalui taklimat dan tinjauan di Taman Tasik Jurong serta Taman Semula Jadi Rifle Range, delegasi Johor meneliti pelaksanaan strategi Bandar Dalam Alam Semula Jadi (City in Nature) yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan ekologi.
“Pendekatan ini amat relevan dengan hala tuju Johor yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan alam semula jadi dalam agenda Maju Johor,” katanya.
Beliau berkata konsep taman masyarakat bersepadu, rangkaian hijau (Park Connector Network) serta program Tree Banks yang dilaksanakan oleh NParks menjadi inspirasi kepada Johor untuk memperkukuh dasar Johor City in Nature.
“Ia sejajar dengan usaha memperluas pembangunan landskap bandar pintar dan perbandaran hijau yang diselaraskan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya sambil menambah bahawa lawatan itu membuka ruang kepada idea baru dalam pengurusan taman awam dan prasarana hijau yang lebih lestari.
“Mereka berjaya menggabungkan peranan rakyat melalui aktiviti pendidikan alam, program sukarelawan dan kesedaran biodiversiti; sesuatu yang turut diterapkan dalam agenda Bandar Sejahtera dan Berdaya Huni di Johor,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg