JOHOR BAHRU: Harga beberapa jenis ikan di pasaran tempatan menunjukkan sedikit peningkatan berikutan peralihan cuaca ke musim tengkujuh yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan sejak awal bulan ini.
Tinjauan di beberapa pasar basah sekitar Johor Bahru mendapati harga ikan seperti kerisi dijual sekitar RM16 ($4.9) sekilogram (kg), selayang antara RM12 hingga RM13, selar besar RM18.50, selar kecil RM12, manakala selar kuning mencecah RM25 bagi setiap kg.
Ikan kembong biasa pula dijual RM14 hingga RM18 setiap kg dan ikan kembong bersaiz besar dijual pada harga RM20 hingga RM26 setiap kg.
Harga itu menunjukkan perbezaan sekitar September, iaitu ikan kembong RM10 hingga RM12, ikan selar kuning (kecil) RM9 hingga RM11, ikan cencaru RM8 hingga RM10, ikan kerisi RM11 hingga RM15 dan ikan selayang RM7 hingga RM9 setiap kg.
Peniaga ikan, Encik Hairi Azmi Paiman, 45 tahun, berkata berlaku sedikit kenaikan harga ikan antara RM3 hingga RM4 bagi setiap kg.
Namun, menurutnya ia tidak mendapat rungutan daripada pelanggan kerana memahami situasi berkenaan.
“Kenaikan harga ini bergantung kepada saiz dan mutu ikan. Sekarang angin kuat, jadi nelayan sukar mendapat tangkapan banyak, sedangkan permintaan kekal tinggi.
“Kalau hasil tangkapan banyak, harga akan turun semula. Misalnya, di sekitar Kuala Lumpur mereka biasa guna ikan kembong sejuk beku pada harga RM14, tetapi di sini ikan kembong segar boleh mencecah RM20 hingga RM26 bergantung kepada saiz ikan,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Larkin di Johor Bahru pada 23 Oktober.
Encik Hairi yang mendapatkan bekalan ikan segar dari Endau, Mersing, Sedili dan Pontian, berkata pasaran juga dipengaruhi oleh permintaan dari Singapura.
“Kita kurang pakai ikan sejuk beku sebab pelanggan terutama warga Singapura lebih gemar membeli ikan segar,” katanya yang sudah berniaga sejak 1980-an, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi peniaga ikan, Encik Azmi Abu Bakar, 52 tahun, turut mengakui harga ikan mula meningkat sejak Oktober dan dijangka kekal sehingga Disember sejajar dengan musim tengkujuh.
“Kalau selar kecil, sepinggan RM5 pun boleh dapat. Ikan yang harga mahal itu biasanya ikan segar dan bersaiz besar.
“Namun, kenaikan tidak terlalu ketara, terutama bagi ikan ‘rakyat’ seperti kembung, selar, cencaru dan kerisi.
“Pelanggan masih ada pilihan kalau mahu harga rendah mereka boleh membeli ikan kecil sedikit. Begitu juga sebaliknya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg