Kerajaan Johor terus komited memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dengan memperkenalkan Program Komuniti Minda Sejahtera (K-MindSet) sebagai usaha melatih pemimpin masyarakat menjadi barisan hadapan dalam advokasi dan kesedaran kesihatan mental.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada langkah bersepadu kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses rawatan dan sokongan psikososial yang menyeluruh.
“Modul latihan advokasi ini akan melibatkan ketua kampung, penghulu, pengerusi persatuan penduduk serta pemimpin belia agar mereka dapat mengenal pasti tanda awal tekanan atau gangguan mental dan membantu menghubungkan individu terjejas kepada perkhidmatan sokongan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Negeri Johor 2025 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Batu Pahat, pada 23 Oktober.
Beliau berkata tema sambutan 2025 adalah “Akses kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental dalam Krisis dan Bencana” amat relevan dengan cabaran semasa, termasuk tekanan sosial dan ekonomi yang memberi kesan kepada kesejahteraan emosi rakyat.
“Apabila berlaku bencana, tumpuan sering diberikan kepada pemulihan fizikal. Namun, aspek mental dan psikososial tidak boleh diabaikan kerana trauma yang tidak dirawat boleh membawa kesan jangka panjang kepada individu, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Johor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor sedang memperkukuh kemudahan kesihatan primer, menambah bilangan kaunselor, pegawai psikologi dan pakar psikiatri, serta mengembangkan jaringan sokongan masyarakat melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, pertubuhan agama dan pemimpin tempatan.
Encik Ling berkata usaha itu penting bagi memastikan tiada rakyat Johor yang tercicir daripada mendapatkan rawatan kesihatan mental, sama ada di bandar mahupun kawasan luar bandar.
“Isu kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan hanya memberi kesan kepada individu tetapi juga menjejas produktiviti dan kestabilan sosial negeri. Kita mesti menghapuskan stigma dan mewujudkan budaya prihatin serta saling membantu,” katanya.
Beliau turut menyeru agar sambutan Hari Kesihatan Mental dijadikan titik tolak kepada tindakan lebih konkrit dalam memperkukuh sistem sokongan komuniti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg