Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah pesakit guna khidmat hantar ubat percuma di Johor naik kepada 20,000

Sep 10, 2025 | 11:50 AM
Malaysia, Johor, ubat, pesakit, Pos Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (tengah), bersama kakitangan Pos Malaysia di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor. - Foto FACEBOOK AH SOON

Perkhidmatan penghantaran ubat secara percuma yang diperkenalkan Kerajaan Johor sejak 2024 kini mencatat perkembangan ketara apabila jumlah pengguna meningkat daripada 6,000 orang kepada 20,000 pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata inisiatif itu terbukti memberi kemudahan besar kepada pesakit kerana mereka tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter, bersusah payah ke hospital atau klinik, mahupun risau soal pengangkutan.

“Sepanjang dua tahun ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta ($578,026) bagi menggerakkan program ini.

“Membantu 20,000 pesakit setiap bulan bukan sahaja meringankan beban mereka, malah turut mengurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan serta menyumbang kepada pengurangan masalah trafik,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 September.

Encik Ling berkata beliau turut turun padang memberi sokongan kepada syarikat pos dan pekerja penghantaran yang menjayakan program itu.

Beliau juga berpeluang menunggang motosikal elektrik posmen untuk menghantar ubat terus ke tangan pesakit sebagai tanda penghargaan.

Beliau menambah Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini sedang bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menilai kemungkinan memperluaskan perkhidmatan itu, termasuk penghantaran ubat yang memerlukan kawalan suhu.

Dalam perkembangan lain, Encik Ling memaklumkan Johor bakal menerima sebuah lagi hospital baru hasil pelaburan Oriental Holdings Berhad dengan kerjasama Country Garden Pacificview Sdn. Bhd.

“Pada 9 September, saya berpeluang menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua syarikat. Oriental Holdings Berhad berhasrat melabur RM750 juta dalam sektor hospital dan penjagaan kesihatan di Forest City, termasuk pembinaan sebuah hospital dengan kapasiti 500 katil,” jelasnya.

Tambahnya, projek itu akan menjadi mercu tanda baru kerana Forest City dipilih sebagai lokasi tumpuan pelaburan dan akan dijadikan sebagai zon pembiayaan khas, atau Special Financing Zone.

Dengan pertambahan penduduk serta kedudukannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kawasan tersebut dijangka menjadi pusat pertumbuhan baru bertaraf antarabangsa.

“Pelaburan ini membuktikan Johor bukan sahaja menarik minat pelabur asing, tetapi juga pelaburan dalam negara. Kita berharap lebih banyak syarikat tempatan akan mencontohi langkah ini demi pembangunan negeri,” katanya.

“Membantu 20,000 pesakit setiap bulan bukan sahaja meringankan beban mereka, malah turut mengurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan serta menyumbang kepada pengurangan masalah trafik.” 
Encik Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg