Kerajaan Johor komited memastikan sistem kesihatan negeri itu menjadi lebih cepat, cekap dan mesra rakyat menerusi pelaksanaan Smart Queue System (SQS) di klinik pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang sedang diperluas ke seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata SQS merupakan inisiatif pendigitalan yang dibiayai Kerajaan Negeri Johor dengan peruntukan RM1 juta ($306,972) bagi memudahkan urusan pesakit mendapatkan nombor giliran dan janji temu tanpa perlu beratur berkali-kali.
“Sistem ini mula digunakan secara berperingkat sejak 19 September.
“Setakat ini, sebanyak 17 daripada 33 klinik pakar telah menggunakannya, dengan hampir 30,000 pesakit telah memuat turun dan menggunakan sistem tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Oktober.
Bagaimanapun menurutnya, minggu lalu berlaku kelewatan selepas pembekal sistem mengaktifkan SQS secara serentak di 10 klinik pakar, menyebabkan sistem menjadi perlahan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pesakit.
“Saya turun sendiri ke Poliklinik HSA untuk meninjau keadaan di lapangan dan terus menghubungi pembekal bagi memastikan isu teknikal ini diselesaikan dalam minggu ini.
“Saya juga akan datang semula minggu hadapan untuk pemantauan susulan,” ujarnya.
Encik Ling menegaskan bahawa sasaran kerajaan Johor ialah memastikan semua 33 klinik pakar di bawah HSA menggunakan SQS sepenuhnya sebelum hujung 2025.
Beliau turut mencadangkan agar hospital menyediakan pilihan mencetak kod QR bagi klinik yang mempunyai ramai pesakit warga emas, supaya mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya pada telefon bijak.
“Langkah ini penting supaya setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada kemudahan digital tanpa sebarang kesulitan.
“Transformasi digital ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal keselesaan dan maruah pesakit,” katanya.
Encik Ling menambah, kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan pihak hospital dan Kementerian Kesihatan bagi memperluas pelaksanaan sistem digital di hospital awam lain di negeri itu.
“Matlamat kita ialah memastikan rakyat Johor mendapat akses rawatan yang lebih cekap dan mesra pengguna, selaras dengan visi menjadikan negeri ini peneraju sistem kesihatan moden di Malaysia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg