KUALA LUMPUR: Harimau Malaya berisiko pupus di habitat tertentu akibat populasinya yang kecil serta kehidupannya yang terpisah, sekali gus menyukarkan pembiakan dan menjejas kepelbagaian genetik.

Populasi spesies ikonik Malaysia di habitat liar dianggarkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan antara 2016 dengan 2020, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Krisis ini bertambah parah apabila Harimau Malaya terus menjadi sasaran jerat dan pemburuan haram – dua buatan manusia yang kekal sebagai punca utama mengancam kepupusan.

Kajian mendapati ‘kehilangan’ seekor harimau sahaja boleh memberi kesan besar kepada kelangsungan populasi yang kini kecil terutama jika ia membabitkan harimau yang berpotensi membiak.

Ketua Program Pemuliharaan Harimau Malaya Dana Kehidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia, Encik Azlan Mohamed, berkata walaupun terdapat perkembangan positif hasil pelbagai usaha pemuliharaan sejak 2021, ancaman terhadap kelangsungan spesies itu masih belum selesai. 

“Populasi yang terlalu kecil kekal terdedah kepada pemburuan haram, kehilangan dan pemecahan habitat, kekurangan makanan serta konflik manusia-hidupan liar.

“Apabila sesuatu populasi terpisah daripada populasi lain, peluang pembiakan dan pertukaran genetik turut terjejas, sekali gus meningkatkan risiko kepupusan setempat iaitu apabila Harimau Malaya tidak lagi dapat bertahan di kawasan habitat tertentu,” katanya kepada BHM.

Populasi Harimau Malaya menunjukkan trend peningkatan berbanding kurang daripada 150 ekor pada 2021 berikutan kejayaan usaha pemuliharaan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata kejayaan usaha pemuliharaan itu mencerminkan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan kemampanan, ihsan serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan spesies terancam berkenaan terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Harimau mempunyai keupayaan untuk bergerak merentasi jarak yang jauh dari satu kawasan hutan ke kawasan hutan yang lain.

“Justeru, walaupun tiada harimau dikesan di sesuatu kawasan selama beberapa tahun, tidak bermakna harimau sudah pupus secara setempat atau tidak akan kembali ke kawasan itu.

“Harimau mungkin kembali dan mendiami semula kawasan itu, jika habitat, makanan dan keadaan persekitaran sesuai untuk hidupnya. 

“Habitat itu mesti terus sesuai dan hutan perlu kekal bersambung supaya harimau dapat bergerak antara kawasan dan populasinya terus bertahan dalam jangka panjang,” tambah Encik Azlan.