SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tapak kaki harimau belang ditemui di Projek Pertanian Moden Kluang, Johor

Tapak kaki harimau belang ditemui di Projek Pertanian Moden Kluang, Johor

Apr 7, 2026 | 3:53 PM

Tapak kaki harimau belang ditemui di Projek Pertanian Moden Kluang, Johor

Kesan tapak kaki harimau belang dijumpai di Projek Pertanian Moden di Kluang, Johor, pada 3 April.
Kesan tapak kaki harimau belang dijumpai di Projek Pertanian Moden di Kluang, Johor, pada 3 April. - Foto JABATAN PERHILITAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan menerima aduan penemuan kesan tapak kaki dipercayai milik harimau belang di Projek Pertanian Moden di Kluang, Johor, pada 3 April lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Encik Abdul Kadir Abu Hashim, berkata aduan itu diterima kira-kira 7.30 malam, dengan kawasan penemuan berada 15 kilometer (km) dari Hutan Simpan Renggam dan 27 km dari Hutan Simpan Kluang, Johor.

Menurutnya, hasil siasatan Jabatan Perhilitan mendapati kesan tapak kaki berukuran kira-kira 12 sentimeter lebar dan 11 sentimeter panjang.

Menyusuli laporan itu, empat anggota dari Pejabat Perhilitan Batu Pahat dan Kluang dihantar ke tapak berkenaan bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Siasatan juga mendapati kesan tapak kaki itu dipercayai sudah wujud tiga hingga empat hari lalu.

“Ekoran itu, rondaan dan kawalan dilaksanakan Jabatan Perhilitan sehingga tempoh 14 hari bagi memastikan keselamatan kawasan tersebut terjamin.

“Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) pula akan melaksanakan pemasangan perangkap kamera bagi mengesan corak pergerakan harimau terbabit dan seterusnya menilai tindakan susulan bersesuaian,” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Abdul Kadir berkata Jabatan Perhilitan menasihatkan penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan kegiatan harian serta mengelak daripada berada bersendirian di kawasan hutan atau ladang, khususnya pada waktu awal pagi dan lewat petang.

Jabatan Perhilitan turut mengharapkan orang ramai akan terus memberi sokongan dan membantu dengan menjadi mata dan telinga untuk jabatan itu dan menyalurkan maklumat berhubung kehadiran hidupan liar.

Sebelum ini pada 8 Mac lalu, Jabatan Perhilitan Johor telah menjalankan siasatan di kawasan ladang kelapa sawit di Kluang selepas menerima satu video tular, dan mengesahkan kehadiran harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) melalui penemuan beberapa kesan tapak kaki serta najis harimau.

Pada 11 Mac, seorang penternak lembu di kawasan tersebut menemui dua bangkai lembu yang dipercayai dibaham harimau.

Berikutan itu, Jabatan Perhilitan telah memasang tiga unit perangkap kamera tambahan berhampiran bangkai lembu, bagi tujuan pemantauan lanjut.

Penduduk turut mendakwa melihat harimau terbabit berkeliaran berhampiran kawasan penempatan, menyebabkan Jabatan Perhilitan menyerahkan satu unit meriam kepada Ketua Kampung, untuk menghasilkan bunyi bising bagi menghalau harimau jika ia menghampiri kawasan penempatan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg