KUALA LUMPUR: Harimau Malaya berisiko pupus di habitat tertentu akibat populasi kecil yang terpisah, menyukarkan pembiakan dan menjejaskan kepelbagaian genetik.

Populasi spesies ikonik Malaysia di habitat liar dianggarkan kurang daripada 150 ekor berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan antara 2016 hingga 2020, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Ketika timbul isu kepupusan haiwan itu, keadaan bertambah parah kerana ia juga menghadapi ancaman perbuatan manusia iaitu jerat dan pemburuan haram yang kekal antara ancaman utama.

Kajian mendapati ‘kehilangan’ seekor harimau sahaja boleh memberi kesan besar kepada kelangsungan populasi yang sedia kecil terutama jika membabitkan harimau yang berpotensi membiak.

Ketua Program Pemuliharaan Harimau Malaya Dana Kehidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia, Encik Azlan Mohamed, berkata walaupun terdapat perkembangan positif hasil pelbagai usaha pemuliharaan sejak 2021, ancaman terhadap kelangsungan spesies itu masih belum selesai. 

“Populasi yang terlalu kecil kekal terdedah kepada pemburuan haram, kehilangan dan pemecahan habitat, kekurangan makanan serta konflik manusia-hidupan liar.

“Apabila sesuatu populasi terpisah daripada populasi lain, peluang pembiakan dan pertukaran genetik turut terjejas, sekali gus meningkatkan risiko kepupusan setempat iaitu apabila Harimau Malaya tidak lagi dapat bertahan di kawasan habitat tertentu,” katanya kepada BHM.

Populasi Harimau Malaya menunjukkan trend peningkatan berbanding kurang daripada 150 ekor pada 2021 berikutan kejayaan usaha pemuliharaan dibuat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata kejayaan usaha pemuliharaan itu mencerminkan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan kemampanan, ihsan serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan spesies terancam berkenaan terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Encik Azlan berkata, tiada kawasan tertentu boleh dijangkakan kehilangan populasi harimau.

“Harimau mempunyai keupayaan untuk bergerak merentasi jarak yang jauh dari satu kawasan hutan ke kawasan hutan yang lain.

“Justeru, walaupun tiada harimau dikesan di sesuatu kawasan selama beberapa tahun, tidak bermakna harimau sudah pupus secara setempat atau tidak akan kembali ke kawasan itu.

“Harimau mungkin kembali dan mendiami semula kawasan itu, jika habitat, makanan dan keadaan persekitaran sesuai untuk hidupnya. 

“Habitat itu mesti terus sesuai dan hutan perlu kekal bersambung supaya harimau dapat bergerak antara kawasan dan populasinya terus bertahan dalam jangka panjang,” tambahnya.