KUALA LUMPUR: Lebih 100 orang, yang kebanyakannya belia, berhimpun di pusat bandar Kuala Lumpur pada 25 Januari antara lain untuk meluahkan rasa bimbang mereka terhadap rasuah yang didakwa masih berlaku dalam politik negara.
Mereka berjalan sekitar 1 kilometer dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.
Menurut Berita Harian Malaysia, peserta himpunan itu mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.
Ini termasuk menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan meminta kerajaan ‘membebaskan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dengan meletakkannya di bawah Parlimen dan seliaan rakyat.
Mereka turut menggesa kerajaan menyegerakan Akta Pendanaan Politik di negara ini.
Setiausaha sekretariat himpunan itu, Encik Zaim Zulkifli, berkata:
“Kami bimbang tentang situasi sekarang, dengan kerajaan sekarang sebelum ini mengambil pendirian tegas terhadap rasuah namun selepas membentuk kerajaan perpaduan, kes rasuah tertentu ditangani dengan ringan. Inilah pandangan orang awam,” ujarnya kepada media selepas perhimpunan itu.
Meskipun jumlah peserta himpunan itu kecil berbanding himpunan besar di Malaysia yang berlangsung sebelum ini, Encik Zaim, 21 tahun, berkata beliau gembira dengan jumlah peserta yang turun padang.
“Sebenarnya jumlah ini adalah lebih daripada yang kami jangkakan. Ini hanyalah permulaan,” ujarnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata himpunan itu berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
“Tujuan utama kita bukan sekadar mengawasi peserta himpunan, namun apa yang lebih penting adalah menjaga keselamatan orang ramai di sekitar Jalan TAR dan pengunjung Dataran Merdeka.
“Himpunan ini berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal selepas kita menugaskan pegawai dan anggota bagi mengawasi sebarang kejadian yang melanggar peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg