KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengimbas kembali masa beliau dipenjara untuk mempertahankan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri Encik Najib Tun Razak yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah dalam kes RM42 juta ($12.7 juta) SRC International.
Bercakap kepada media Britain semasa lawatan rasmi ke London baru-baru ini, Datuk Anwar dilaporkan berkata beliau tidak mahu Encik Najib menderita di penjara seperti yang pernah dialaminya.
“Saya juga melalui neraka itu, dan kurungan bersendirian. Saya tidak diberi sebarang makanan luar kecuali makanan penjara.
“Tetapi adakah saya perlu melayan Najib dengan cara yang sama? Saya kata tidak, maksud saya, dia adalah bekas perdana menteri,” katanya dalam temu bual dengan Financial Times.
Encik Najib, 71 tahun, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bersalah menyalah guna dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Tidak seperti Datuk Anwar, bekas Ahli Parlimen (AP) Pekan itu dibenarkan untuk meminta dan menerima makanan daripada luar, lapor Malaysiakini.
Pada Julai 2024, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, permaisuri Yang di-Pertuan Agong ketika itu, memuat naik gambar puding butterscotch yang dibuatnya atas permintaan Encik Najib sebagai pencuci mulut kegemarannya.
Sementara itu, Datuk Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak akan memaafkan sebarang tuduhan rasuah yang berlaku di era pendahulunya.
Beliau juga mengulangi tuduhannya bahawa perdana menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, membenarkan beliau menderita di penjara.
“Saya diserang dan hampir mati. Saya telah memaafkan perkara itu, saya tidak mahu fikir lagi,” kata Datuk Anwar yang dua kali dipenjarakan selama hampir sedekad berikutan sabitannya pada 1999 dan 2015.
“Tetapi mencuri daripada dana awam – berbilion-bilion – (dan) saya tiada kuasa untuk memaafkan kamu. Kamu kena pulangkan dana itu,” tambahnya.
Datuk Anwar mengadakan lawatan kerja lima hari ke Britain mulai 14 Januari. Beliau kemudian melakukan lawatan kerja dua hari ke Belgium serta bertemu pemimpin Kesatuan Eropah (EU).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg