Kes rayuan bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, di mahkamah pada 6 Januari agar beliau boleh menjalani baki hukuman penjaranya di rumah telah menarik perhatian ramai.
Setelah didengar panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, beliau dan pasukan peguamnya, diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berjaya dalam rayuan untuk mengesahkan kewujudan perintah tambahan atau titah adendum Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Titah adendum itu dikatakan membenarkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya sejak 2022, sebagai tahanan di rumah.
Mahkamah Rayuan memutuskan agar kes Encik Najib itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman bagi membolehkan titah adendum itu dilaksanakan.
Sebelum ini pada 3 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Encik Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap titah adendum berkenaan. Dalam penghakiman tersebut, mahkamah memutuskan semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah adendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.
Ini termasuk afidavit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan titah adendum Lembaga Pengampunan itu.
Mahkamah menyatakan kededua afidavit itu sebaliknya hanya memetik kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang dikatakan mendakwa titah adendum itu wujud.
Namun pada perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari, Tan Sri Muhammad Shafee membawa masuk ke mahkamah dan membacakan titah adendum yang dikatakan daripada Sultan Abdullah yang membenarkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Tan Sri Muhammad Shafee turut menunjukkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya titah adendum itu.
Menurutnya, surat bertarikh 4 Januari lalu itu dihantar kepada anak sulung Encik Najib, Datuk Mohamad Nizar, oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Perkembangan itu mengejutkan banyak pihak, namun menggembirakan pihak Encik Najib. Keputusan mahkamah rayuan yang kemudian menyebelahi Encik Najib menggembirakan penyokongnya.
Dalam perhimpunan sempena perbicaraan Mahkamah Rayuan di Putrajaya itu, dianggarkan lebih 3,000 orang menyertai ‘Himpunan Solidariti Najib Razak’ itu.
Menariknya, selain penyokong Encik Najib yang merangkumi ahli dan sebilangan pemimpin Umno – komponen Kerajaan Perpaduan – turut hadir adalah ahli dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang merupakan pihak pembangkang.
Perkembangan terbaru surat Majlis Kesultanan Pahang, perhimpunan orang kerajaan dan pembangkang benar-benar menjadi perkara yang menarik perhatian.
Bagi pihak kerajaan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan Malaysia menyembunyikan titah adendum tersebut.
Beliau menegaskan Jabatan Penjara hanya menerima dua arahan iaitu pengurangan hukuman penjara dan pengurangan denda terhadap bekas Ahli Parlimen (AP) Pekan (Pahang) itu pada 2 Februari 2024, sekali gus menegaskan tiada menerima sebarang titah adendum.
Seorang AP Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Hassan Abdul Karim, yang dikenali sebagai berani meluahkan pandangannya sama ada kepada pihak kawan atau lawan, berkata Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim tidak harus dipersalahkan dalam isu itu, malah berkata Datuk Anwar harus dipuji “kerana komitmennya untuk menegakkan kebebasan kehakiman”.
“Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada perdana menteri yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau (Datuk Anwar) khususnya sebagai perdana menteri tidak boleh mengganggu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim,” ujarnya.
Encik Hassan juga menjelaskan bahawa Encik Najib mengemukakan permohonan pengampunannya kepada Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan Agong, dengan Datuk Anwar tidak terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan lembaga itu.
Kini, Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Januari untuk menentukan tarikh perbicaraan bagi kes itu dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman, bagi membolehkan titah adendum itu dilaksanakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg