Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital utama JB hadapi krisis kurang tenaga kerja kesihatan

Jul 14, 2025 | 1:37 PM
Johor, hospital, Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri), mengadakan perjumpaan bersama kakitangan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Beberapa hospital utama di Johor Bahru kini berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius, sekali gus menjejas mutu perkhidmatan dan kesejahteraan petugas barisan hadapan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keadaan itu dikesan sendiri semasa beliau mengadakan lawatan mengejut bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, ke Hospital Sultan Ismail (HSI), iaitu hospital pakar kedua terbesar di negeri itu.

“Realitinya amat membimbangkan. Kekurangan tenaga kerja kesihatan melibatkan pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook pada 14 Julai.

Menurutnya, tekanan kerja yang tinggi akibat beban pesakit yang tidak seimbang berpotensi menjejas moral petugas, selain membahayakan keselamatan pesakit.

“Sebagai contoh, ada jururawat yang terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, sedangkan nisbah ideal ialah satu jururawat kepada enam pesakit, atau maksimum lapan pesakit,” ujarnya.

Datuk Onn Hafiz menegaskan bahawa Kerajaan Johor memandang serius keadaan berkenaan dan akan terus memberi sokongan daripada segi kemudahan serta keperluan mendesak di hospital terbabit.

Beliau turut memaklumkan bahawa isu kekurangan tenaga kerja itu akan dibawa secara rasmi ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jabatan berkaitan agar proses pengisian jawatan di Johor dapat disegerakan tanpa tolak ansur.

“Saya sendiri akan merayu agar penempatan tenaga kerja kesihatan di Johor diberi keutamaan. Ini soal keselamatan pesakit dan keadilan kepada petugas,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan di Johor atas pengorbanan dan usaha luar biasa dalam memastikan perkhidmatan kesihatan negeri berjalan lancar meskipun berdepan cabaran sumber manusia yang kian meruncing.

“Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan sistem kesihatan yang cekap, saksama dan mampan demi kepentingan seluruh negeri dan Bangsa Johor,” katanya.

Terdahulu, pada 9 Julai, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyeru agar Hospital Pasir Gudang yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat segera dilengkapkan dengan petugas kesihatan.

Ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan rakyat di negeri itu tidak terus terjejas.

Beliau turut menggesa KKM mempercepat pengisian jawatan kosong yang menjejas operasi hospital utama negeri seperti HSI, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg