HRD Corp gantung 3 pengurusan tertinggi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HRD Corp gantung 3 pengurusan tertinggi

Feb 6, 2026 | 1:01 PM

HRD Corp gantung 3 pengurusan tertinggi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Datuk Shamir Aziz, HRD Corp
Ketua Eksekutif HRD Corp yang baru dilantik, Datuk Shamir Aziz. - Foto FACEBOOK HRD CORP

KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertingginya, menyusuli penemuan dan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu, jelas HRD Corp, berpunca daripada isu pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas, dan pengurusan pelaburan ekuiti.

Isu terbaru, Sistem Teras Baru (NCS) bernilai RM14 juta ($4.51 juta) yang tertangguh lebih empat tahun selepas gagal tiga Ujian Penerimaan Pengguna (UAT), seperti dilaporkan Berita RTM, 6 Februari, turut diambil kira.

Ketua Eksekutif HRD Corp yang baru, Datuk Shamir Aziz, berkata penggantungan itu sebahagian usaha pemulihan dan pengukuhan tadbir urus, selaras aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

“Langkah ini menepati penekanan terhadap standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja bagi memastikan pengurusan HRD Corp memberi impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara, sejajar semangat Madani Bekerja,” tegasnya.

HRD Corp, katanya, akan menjalankan siasatan dalaman secara telus dan berintegriti, dengan mandat, skop dan terma rujukan yang jelas.

“Proses siasatan merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan,” tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Shamir memaklumkan bahawa dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baru HRD Corp, badan latihan kerajaan itu berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur tertunggak, dengan pulangan berjumlah RM151.8 juta.

Pencapaian itu, katanya, membuktikan proses pemulihan pantas telah dilaksanakan, menjamin pelaburan HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.

Siasatan SPRM terhadap HRD Corp bermula pada Julai 2024.

Ini menyusuli pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Sebelum itu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan, berkata Kementerian Sumber Manusia disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan menyusuli kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan.

Sementara itu, HRD Corp turut mengumumkan penambahbaikan tadbir urus pelaksanaan program latihan apabila latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan dari tarikh kelulusan.

Langkah ini memberi masa cukup kepada majikan dan penyedia latihan untuk merancang rapi, termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta serta penyelarasan logistik.

Menurut kenyataan itu, ketiadaan pemantauan sistematik sebelum ini telah melemahkan kawalan tadbir urus, selain wujud kes latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh dan permohonan geran hanya dikemukakan selepas latihan selesai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg