Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid: Johor negeri pertama tawar gaji premium hingga RM5,000

Nov 4, 2024 | 1:36 PM
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto fail

JOHOR BAHRU: Johor akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 ($1,207) dan RM5,000 kepada mereka yang mempunyai ijazah dalam sektor tertentu yang berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan kerajaan Johor susulan kewujudan beberapa zon ekonomi, termasuk JS-SEZ tidak lama lagi.

Katanya, JS-SEZ pada waktu ini memerlukan seramai 74,000 pekerja berkemahiran tinggi, namun hanya 52,000 permohonan kerja dibuat setakat ini.

Beliau berkata hasrat Johor itu akan dicapai dengan penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada 3 November.

Beliau berkata penubuhan JTDC itu amat penting dalam memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dibekalkan susulan penawaran sebanyak 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal wujud di negeri itu.

Menyentuh mengenai JTDC, Datuk Ahmad Zahid memaklumkan bahawa penubuhan majlis itu bakal bertindak sebagai hab sehenti yang menghubungkan institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri dan pencari kerja.

JTDC juga pemangkin ke arah penyelarasan program latihan supaya mengikut keperluan industri, sekali gus memastikan lulusan TVET mendapat peluang pekerjaan bermutu dan mempromosi pembangunan kemahiran berteknologi tinggi.

“Johor adalah negeri pertama wujudkan JTDC bagi membantu anak muda di negeri ini dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Apa yang dilakukan Johor ini adalah untuk menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000, manakala gaji premium ijazah sarjana muda bermula RM5,000. Tidak ada negeri lain melakukannya (gaji premium) setakat ini hanya Johor sahaja yang berada di hadapan.

“Kita melihat peluang pekerjaan yang ada di Johor umpamanya menghadapi persaingan dari negara jiran. Ini kerana gaji minimum ditetapkan kerajaan adalah RM1,700 berkuatkuasa Februari 2025, namun gaji minimum di Singapura pula adalah $1,500 yang bersamaan dengan RM5,290.

“Oleh itu, adalah penting untuk Johor memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak mengalir keluar,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan JTDC dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru di sini pada 3 November.

“Oleh itu, JTDC menjadi sokongan utama kepada penghasilan lebih ramai tenaga kerja kemahiran tinggi yang diperlukan pasaran terutama lepasan TVET.

“Kita ada 1,345 institusi TVET di seluruh negara dan di Johor sahaja ada lebih 220 institusi TVET bagi memenuhi permintaan 100,000 peluang pekerjaan di Johor,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) supaya menyalurkan peruntukan RM20 juta kepada institusi TVET di Johor.

“Ia bagi memastikan Johor dapat membekalkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negeri dan negara terus mampan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg