SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hubungan Johor-S’pura diperkukuh melalui program diplomatik

Hubungan Johor-S’pura diperkukuh melalui program diplomatik

Perkongsian FSBP 2026 tonjol peranan pembangunan wilayah dan kerjasama dua hala
Apr 10, 2026 | 3:23 PM

Hubungan Johor-S’pura diperkukuh melalui program diplomatik

Program Asas Perkhidmatan Luar, Kejora
Program Asas Perkhidmatan Luar dihadiri (dari kanan) Pengurus Besar Kejora, Encik Mohd Gadaffie Abd Aziz; Konsul Jeneral Republik Singapura, Encik Ng Kuan Khai; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, Datin Paduka Dr Hajah Suhailizan Suliman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Encik Natazha Hariss. - Foto FACEBOOK LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

JOHOR BAHRU: Hubungan strategik antara Johor dan Singapura terus diperkukuh menerusi penglibatan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dalam Program Asas Perkhidmatan Luar atau Foreign Service Basic Programme (FSBP) 2026, yang berlangsung di sini pada 9 April.

Program anjuran Konsulat Jeneral Republik Singapura di Johor Bahru itu menampilkan Pengurus Besar Kejora, Encik Mohd Gadaffie Abd Aziz, sebagai penceramah, sempena lawatan rasmi pegawai Kementerian Ehwal Luar Singapura ke negeri itu.

Kejora, dalam satu kenyataan, berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pegawai Singapura mengenai perkembangan semasa Johor serta memperkukuh pemahaman hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

Melalui sesi perbualan santai itu, Encik Mohd Gadaffie, berkongsi mengenai keunikan hubungan erat Johor-Singapura yang telah lama terjalin, bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah meliputi aspek sosial dan sejarah.

“Hubungan ini menjadi asas penting dalam memperkukuh kerjasama strategik serta membuka peluang pembangunan bersama yang lebih dinamik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan aspirasi Kejora 2.0 yang menekankan peranan pertubuhan itu sebagai pemegang amanah dalam memastikan pembangunan wilayah Johor Tenggara dilaksanakan secara mampan, menyeluruh dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, pendekatan tersebut memberi penekanan kepada tadbir urus yang baik serta pelaksanaan inisiatif pembangunan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat luar bandar.

Dalam sesi itu, beliau juga berkongsi pengalaman sebagai penjawat awam termasuk nilai dan etika yang menjadi asas kepada perkhidmatan awam yang jujur dan amanah, berdaya saing dan berorientasikan perkhidmatan.

Turut diundang sebagai penceramah ialah Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, Datin Paduka Dr Hajah Suhailizan Suliman serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Encik Natazha Hariss.

Kejora juga memaklumkan jemputan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan agensi itu sebagai peneraju pembangunan wilayah Johor Tenggara, selain melambangkan hubungan kerjasama erat antara Johor dan Singapura.

“Program seperti ini membuka ruang memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan kefahaman antara kedua-dua pihak dalam memacu pembangunan serantau,” menurut kenyataan itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg