Pelantikan Datin Paduka Hazlina Jalil sebagai Datuk Bandar baru Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada 17 Oktober bukan sahaja mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar wanita pertama Pasir Gudang, bahkan menjadikannya Datuk Bandar wanita pertama di negeri Johor.
Berpengalaman lebih 25 tahun dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS), Datin Paduka Hazlina sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan utama termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Pegawai Daerah Kota Tinggi, dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).
Beliau yang dihubungi Berita Harian (BH) melahirkan tekad untuk meneruskan kecemerlangan MBPG sebagai pihak berkuasa tempatan yang proaktif, berdaya saing dan berpaksikan rakyat.
Tambahnya, MBPG juga berhasrat untuk mendepani pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang disifatkannya sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
“Pelaksanaan JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Pasir Gudang sebagai hab industri, logistik dan pelabuhan antarabangsa yang menjadi nadi pembangunan ekonomi Johor.
“MBPG akan berperanan sebagai pemudah cara serta rakan pelaksana utama bagi memastikan perancangan pembangunan di bawah inisiatif ini diterjemahkan di peringkat tempatan secara menyeluruh dan mampan,” katanya.
Beliau berkata fokus utama MBPG adalah memperkukuh prasarana sokongan, kemudahan logistik, pelaburan hijau serta pembangunan bandar pintar dan rendah karbon bagi menyokong aktiviti perdagangan dan pelaburan berimpak tinggi di bawah JS-SEZ.
Datin Paduka Hazlina turut menegaskan pelaksanaan JS-SEZ bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi juga memberi impak sosial dan alam sekitar yang signifikan.
“MBPG komited mengekalkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian, selaras dengan prinsip Pasir Gudang Perkasa 2030 yang menekankan tiga teras utama, Bersih, Lestari dan Berdaya Huni,” katanya.
Beliau juga berhasrat memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan masyarakat tempatan untuk memperluas peluang pekerjaan serta inovasi teknologi hijau di bawah JS-SEZ, bagi menjadikan Pasir Gudang sebagai model bandar raya industri yang progresif dan lestari di rantau ini.
Beliau menggantikan Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin yang kini memulakan tugas baru sebagai Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg