Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan kukuh M’sia-S’pura beri manfaat besar kepada rantau Asean

May 19, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri Singapura yang baru, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Singapura yang baru, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto X

KUALA LUMPUR: Cabaran utama bagi Perdana Menteri Singapura yang baru, Encik Lawrence Wong, yang mengangkat sumpah pada 15 Mei sudah pastinya adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dengan negara jiran Malaysia, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara malahan kepada 10 anggota blok Asean lain.

Mengukuhkan hubungan itu adalah unsur penting untuk memaksimumkan potensi bersama dan mencipta kekayaan kepada rakyat di tengah-tengah persekitaran sejagat yang umumnya memihak kepada ekonomi yang bersaing.

Dengan bekerjasama bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Singapura – sebuah negara maju, khususnya dalam teknologi – boleh menarik firma teknologi global berpindah ke rantau ini susulan perang perdagangan dan cip antara Amerika Syarikat dengan China.

Persaingan sengit antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu memaksa banyak firma semikonduktor sejagat memilih destinasi lebih selamat dan Malaysia serta ekonomi serantau lain seperti Singapura memiliki kelebihan utama untuk menarik pelaburan ini.

Sekiranya Putrajaya dan pentadbiran baru Singapura membangunkan dasar ekonomi dua hala baru, kedua-duanya boleh dengan mudah menawarkan negara masing-masing sebagai destinasi pelaburan bersama untuk menarik syarikat semikonduktor sejagat ke Asean dengan pelaburan strategik di Malaysia-Singapura termasuk gergasi teknologi dari Amerika dan China.

Langkah itu boleh memberi keuntungan besar bukan sahaja kepada Malaysia dan Singapura, bahkan negara Asia Tenggara lain yang sudah tentunya perlu ditimbangkan dengan serius oleh Encik Wong dan Datuk Anwar bersama pasukan masing-masing.

Dengan berbuat demikian, nukleus Malaysia-Singapura boleh menjadi besi berani untuk menarik pelaburan asing langsung ke rantau Asean, berdasarkan gabungan hampir 700 juta penduduk dan juga merupakan rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia.

Malaysia yang disenaraikan di kedudukan keenam di dunia bagi eksport semikonduktor, dengan jualan RM575 bilion ($165 bilion) pada 2023, dilaporkan menguasai 7 peratus bahagian pasaran global.

Ini pastinya menjadikan negara sebagai destinasi menarik bagi pelabur yang mahu mengejar keuntungan. Dan jika Malaysia dipromosikan bersama-sama dengan Singapura sebagai destinasi bersama, tidak dinafikan ia bakal melonjakkan lagi daya tarikannya untuk pelaburan sejagat.

Encik Wong, 52 tahun, yang sebelum ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, menggantikan Encik Lee Hsien Loong, 72 tahun, yang mentadbir Singapura selama hampir 20 tahun sejak 12 Ogos 2004.

Sebelum ini, Datuk Anwar berkata Malaysia bersedia untuk terus mengukuhkan lagi hubungan dengan Singapura di bawah pentadbiran Encik Wong.

Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Dr Yeah Kim Leng, berkata kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan Singapura juga boleh menjadi perisai bagi kedua-dua negara untuk menangani pelbagai cabaran risiko global.

Antaranya termasuk kelembapan permintaan luar, inflasi dan kadar faedah yang kekal tinggi, serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak ekoran konflik di Timur Tengah, perang Ukraine-Russia yang berterusan dan pertelingkahan Amerika-China.

Profesor Yeah berkata Malaysia dan Singapura saling melengkapi sejak sekian lama, dengan ekonomi kedua-duanya hampir bergantung antara satu sama lain.

“Singapura mempunyai kos buruh tinggi, kekurangan tenaga mahir dan tenaga kerja. Namun begitu, kewangan kukuh dengan rizab besar yang dimiliki negara tersebut boleh menawarkannya sebagai batu loncatan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi,” jelasnya.

Banyak eksport Malaysia dilakukan melalui Singapura, sebilangan besar rakyat Malaysia bekerja di Singapura manakala terdapat banyak syarikat dari kedua-dua negara yang menjalankan perniagaan di pasaran masing-masing.

Beliau berkata dalam senario sedemikian, hubungan dua hala yang berterusan amat penting bagi kedua-dua negara dan berpotensi untuk ditingkatkan lagi memandangkan dinamik baru di persada ekonomi serantau dan sejagat.

Perangkaan terkini menunjukkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, manakala secara keseluruhan 1.8 juta rakyat Malaysia bekerja di rantau ini.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmad Razman Abdul Latif, berkata daripada bersaing antara satu sama lain, saling bekerjasama “adalah jalan terbaik untuk kedua-dua Singapura dan Malaysia terus melangkah ke hadapan”.

Langkah itu amat kritikal memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar dan tidak menentu ketika ini yang membolehkan kedua-dua ekonomi saling bekerjasama bukan hanya secara dua hala malah di peringkat serantau.

Selama lebih sedekad, Malaysia dan Singapura telah menjadi rakan dagang global kedua terbesar antara satu sama lain dan yang terbesar dalam kalangan negara Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM363.13 bilion.

Singapura dan Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara kedua-dua negara pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg