Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mempunyai keyakinan majoriti Anggota Parlimen (AP), kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, dalam surat pelantikan Encik Wong sebagai Perdana Menteri.
Berdasarkan pertimbangannya, dan persetujuannya dengan nasihat Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, Tuan Presiden berhasrat melantik Encik Wong sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei.
Dalam surat pelantikan bertarikh 13 Mei itu, Tuan Presiden juga mempelawa Encik Wong membentuk pemerintah yang seterusnya.
“Sejajar dengan Perlembagaan Artikel 25(1), saya berhasrat melantik anda sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 2024.
“Saya sekarang mempelawa anda membentuk pemerintah yang seterusnya.
“Saya mempunyai keyakinan bahawa sebagai Perdana Menteri, anda akan memimpin Singapura dengan penuh hormat dan memastikan kestabilan berterusan serta semangat bagi negara kita,” kata Tuan Presiden.
Dalam satu hantaran Facebook beliau, Tuan Presiden berkata beliau mengenali Encik Wong lebih dua dekad dan menyaksikannya berkembangnya sebagai seorang pemimpin.
“Saya mempunyai penghormatan tertinggi terhadapnya.
“Pada pandangan saya, beliau akan menjadi Perdana Menteri cemerlang buat Singapura dalam perubahan masa yang akan datang,” katanya.
Majlis Angkat Sumpah Encik Wong sebagai Perdana Menteri akan berlangsung di Istana pada 15 Mei mulai 8 malam.
Dalam surat jawapannya kepada Presiden, Encik Wong berkata beliau menerima pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
Beliau juga berhasrat mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Kewangan.
Encik Wong berkata menyusuli pelantikan rasminya di majlis angkat sumpah itu, dan sejajar dengan Perlembagaan Artikel 25(1), beliau akan secara rasmi menasihatkan pelantikan beberapa Anggota Parlimen (AP) sebagai Menteri mulai 15 Mei juga.
Antaranya, Encik Lee dilantik sebagai Menteri Kanan; Encik Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan; dan Encik Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, dinaikkan pangkat menjadi Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan).
Sementara itu dalam suratnya kepada Presiden pada 13 Mei, Encik Lee berkata beliau berhasrat meletak jawatannya itu pada 15 Mei. Pemerintahnya juga akan meletak jawatan pada hari sama.
“Seperti yang anda tahu, saya telah merancang menyerahkan (jawatan) kepada seorang pengganti apabila saya mencapai (usia) 70 tahun.
“Namun jadual itu terjejas menyusuli pandemik Covid-19. Selepas pandemik, kami menjalankan satu proses untuk memilih seorang pengganti.
“Pada 14 April 2022, AP PAP bertemu dan sebulat suara mengesahkan Encik Wong sebagai pengganti saya. Kini dua tahun kemudian, beliau sudah bersedia memimpin Singapura.
“Sekarang saya secara rasmi menasihatkan anda agar mempelawa Encik Wong, yang mempunyai keyakinan majoriti AP, membentuk pemerintah selanjutnya,” kata beliau.
Dalam satu surat menerima peletakan jawatan Encik Lee, Tuan Presiden mengucapkan terima kasihnya kepada Encik Lee.
Dalam surat bertarikh 13 Mei itu, Tuan Presiden berkata beliau berhasrat melantik Encik Wong selaku Perdana Menteri pada 15 Mei atas pertimbangannya dan sependapat dengan nasihat Encik Lee.
“Bagi pihak semua warga Singapura, saya ucapkan terima kasih di atas khidmat tanpa mementingkan diri sendiri oleh anda selama empat dekad dalam pemerintah, termasuk 20 tahun sebagai Perdana Menteri.
“Anda telah mendorong satu ekonomi yang bertenaga dan pelbagai. Anda telah membuka laluan peluang baru bagi warga Singapura, memperbaiki kehidupan setiap segmen masyarakat dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial,” kata Tuan Presiden.
Beliau menambah: “Anda telah mengubah sekitaran kehidupan kami, dan menempatkan kami pada satu laluan ke arah kemampanan iklim.
“Dan anda telah membawa Singapura ke satu kedudukan unik di dunia, dengan bersuara secara munasabah serta satu komitmen berprinsip kepada peraturan undang-undang antarabangsa dan demi kebaikan sejagat.
Dalam suratnya itu, Tuan Presiden juga menyatakan Encik Wong berhasrat melantik Encik Lee sebagai Menteri Kanan.
“Saya yakin pengalaman dan nasihat anda akan bermanfaat bagi pasukan pimpinan baru ini sedang mereka melakar fasa sejarah kita selanjutnya dan menjadikan Singapura lebih baik,” katanya.
Dalam hantaran Facebooknya pula, Tuan Presiden berkata hanya ada segelintir pemimpin yang luar biasa ketika waktu normal dan apabila negara mereka berhadapan dengan ancaman atau krisis besar.
“Encik Lee telah melalui kededuanya, mengupayakan warga Singapura untuk berdiri tinggi dan bersatu ketika masa baik dan sukar.
“Singapura bernasib baik kerana mempunyainya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg