Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ratusan keluarga dipindah ekoran hujan lebat, banjir di Kota Tinggi

897 penduduk daripada 303 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara
Jan 11, 2025 | 11:11 AM
Para pegawai daripada Balai Polis Kuala Sedili membantu seorang mangsa banjir dengan memindahkannya dari kediaman yang terjejas ke lokasi yang lebih selamat.
Para pegawai daripada Balai Polis Kuala Sedili membantu seorang mangsa banjir dengan memindahkannya dari kediaman yang terjejas ke lokasi yang lebih selamat. - Foto FACEBOOK POLIS DAERAH KOTA TINGGI

KOTA TINGGI: Mangsa banjir di Johor melonjak kepada 897 penduduk daripada 303 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, setakat 8 pagi, 11 Januari.

Ia berbanding seramai 335 mangsa banjir daripada 124 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS, pada 10 malam, 10 Januari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu menyebabkan mangsa banjir di Johor dijangka terus bertambah dengan jangkaan banjir di kawasan rendah di beberapa daerah lain.

Namun setakat ini katanya, Kota Tinggi paling terjejas dengan semua 13 PPS berada di daerah berkenaan.

“Mangsa teramai membabitkan 175 penduduk daripada 50 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), membabitkan penduduk Taman Mawai di bandar.

“Ia diikuti seramai 169 penduduk daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, membabitkan penduduk terjejas dari Taman Aman dan Taman Mawai.

“Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa waspada dan patuh pada arahan pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Dijangkakan mangsa banjir Johor akan bertambah susulan hujan lebat masih berterusan dan tidak berhenti sejak 24 jam lalu,” katanya dalam kenyataan pada 11 Januari.

Dalam pada itu, Dr Azmi, yang juga Setiausaha Negeri Johor, memaklumkan lima sungai di Johor merekodkan paras bahaya, lapan sungai mencatat paras amaran dengan enam sungai di tahap waspada.

Katanya, sungai yang merekodkan paras bahaya termasuk Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong, Kulai Sungai Ulu Pulai, Pontian; Sungai Skudai dan Sungai Tebrau di Johor Bahru.

“Sungai yang merekodkan paras amaran pula membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Sayong dan Sungai Pontian Besar Kulai; Sungai Tiram, Johor Bahru; Sungai Ulu Sedili Besar, Kota Tinggi, selain Sungai Tenglu Besar Kecil serta Sungai Jemaluang, Mersing,” katanya.

Sementara itu, ketua polis daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata seorang lelaki diselamatkan selepas keretanya dihanyutkan arus deras di Jalan Liku Cina, dekat Taman Aman.

“Insiden berlaku pada 11.30 malam pada 10 Januari semasa beberapa pasukan sedang memindahkan para mangsa banjir.

“Kereta itu tersadai di palang elektrik sedang pemandunya duduk di atas keretanya,” kata beliau, sambil menambah mangsa juga telah membuat laporan polis atas insiden itu.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan pada 11 Januari memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal seperti 10 Januari, iaitu 27 orang daripada tujuh keluarga dan masih berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.

“Semua mangsa yang terjejas banjir ialah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar,” menurut kenyataan itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg