Suhu pada pagi 11 Januari jatuh serendah rendah 21.6 darjah Celsius, hampir sama dengan suhu terendah 21.4 Celcius yang dicatatkan pada 2024.
Bacaan suhu dingin itu direkodkan pada 8.51 pagi di Newton, manakala kadar hujan tertinggi yang dicatat adalah 86.8 milimeter, pada 9 pagi di Pasir Panjang.
Angin kuat dan hujan lebat melanda Singapura sepanjang malam pada 10 Januari, menyebabkan pokok tumbang, lalu lintas trafik terganggu, dan seluruh pulau diselimuti cuaca sejuk.
Hujan berterusan sejak pagi 10 Januari menyebabkan trafik perlahan semasa waktu sibuk di beberapa kawasan di Singapura, dengan suhu turun serendah 22°C di beberapa kawasan.
Gambar dan video yang dimuat naik oleh orang ramai di media sosial menunjukkan pokok tumbang di beberapa lokasi, termasuk Old Upper Thomson Road, Sentosa, dan Serangoon, lapor The Straits Times (ST).
Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Seah Kian Peng memuat naik gambar pokok yang tumbang di Kampong Park, pada 10 Januari.
Dalam catatan Facebooknya itu, Encik Seah berkata:
“Amaran hujan lebat datang tepat pada masanya. Petang ini, terdapat pokok besar tumbang di Kampong Park.
“Agensi-agensi seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) – dikerahkan di sini, begitu juga dengan Majlis Bandaran dan pemimpin akar umbi.
“Sebenarnya, salah seorang daripada mereka yang tinggal berhampiran terus menuju ke lokasi kejadian bersama seorang lagi pemimpin akar umbi, dan mereka membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada sesiapa yang cedera akibat pokok tumbang itu.
“Terima kasih semua atas kewaspadaan dan tindakan susulan yang baik. Jaga diri semua.”
Agensi air negara PUB mengeluarkan amaran pada 9 Januari bahawa hujan amat lebat kemungkinan akan menyebabkan air melimpah di saluran dan longkang Singapura antara 10 Januari dengan 13 Januari, apabila lonjakan monsun dijangka melanda bandar ini.
Lonjakan monsun – peningkatan mendadak kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk bergerak ke selatan di Laut China Selatan – akan menyebabkan suhu menurun kepada 22 darjah Celsius, serta banjir kilat berlaku secara tiba-tiba dan tertumpu di beberapa kawasan.
Cuaca hujan pada 10 Januari menyebabkan PUB mengeluarkan amaran risiko banjir di kawasan-kawasan seperti Tanjong Katong dan Jalan Pokok Serunai, di kawasan Bedok.
Di Jalan Seaview berhampiran pantai East Coast, paras air naik sehingga kira-kira 50 sentimeter, menenggelamkan jalan sepanjang 60 meter itu.
Pada pagi 11 Januari, kawasan seperti Admiralty, Choa Chu Kang, Clementi, Paya Lebar, Pasir Panjang, dan Jurong West mencatatkan suhu antara 21 darjah Celsius dengan 23 darjah Celsius.
Monsun timur laut yang berterusan dan penurunan hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kejadian banjir kilat pada penghujung 2024.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 2 Januari berkata bahawa mereka sedang memantau keadaan La Nina di Singapura, satu fenomena iklim yang membawa lebih banyak hujan.
Ini bermakna beberapa bulan akan datang pada 2025 dijangka akan lebih basah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg