PUTRAJAYA: Tujuh warga Filipina yang didapati bersalah dalam tragedi pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah, pada 2013, kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya, pada 2 Oktober.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan mereka untuk mengetepikan hukuman gantung itu.
Dua lagi hakim yang mendengar semakan itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan, lapor Kosmo!.
Ketujuh-tujuh tertuduh selaku pemohon ialah Panglima Tentera Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60 tahun, yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram III yang mengakui dirinya Sultan Sulu.
Enam lagi ialah Atik Hussin Abu Bakar, 52 tahun; Basad H Manuel, 49 tahun; Virgilio Nemar Patulada, 59 tahun; Al Wazir Osman, 68 tahun; Tani Lahad Dahi, 70 tahun; dan Julham Rashid, 75 tahun.
Mereka memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.
Di bawah undang-undang baru itu, panel hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun, tetapi tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun.
Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, asalnya menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap kesemua lelaki itu selepas didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan, kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya menyatakan tiada keterangan menunjukkan kesemua tertuduh terbabit secara langsung dalam pertempuran yang berlaku semasa pencerobohan itu, ataupun bukti mereka membunuh mana-mana anggota keselamatan secara kejam atau mencederakan sesiapa.
Bagaimanapun, pada 8 Jun 2017, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya untuk menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat kepada hukuman mati.
Hukuman mati itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Januari 2018 diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, yang memutuskan bahawa hukuman mati adalah wajar diberikan kepada semua perayu.
Dalam kejadian pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, antara 12 Februari dengan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan terbabit.
Pencerobohan itu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo, turut menumpaskan 68 pengganas Sulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg