KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebat terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 6 Disember ini, ditangguhkan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata penangguhan itu susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah, pada 3 Disember.
Justeru, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara itu adalah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
Menurutnya permohonan semakan adalah perkara biasa dalam sistem kehakiman dan orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Saya juga ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah.
“Hukuman sebatan ini adalah satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir dan antara tujuannya adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu yang lain.
“Hukuman berkenaan akan tetap dilaksanakan di lokasi sama dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, Terengganu, pada 4 Disember, lapor Harian Metro.
Media Malaysia pada 20 November melaporkan seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Encik Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Encik Kamalruazmi menjatuhkan hukuman enam sebatan, denda RM4,000 ($1,203) atau enam bulan penjara sekiranya jika gagal menjelaskan denda berkenaan terhadap tertuduh.
Dr Muhammad Khalil berkata permohonan itu dikemukakan agensi berkaitan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.
“Permohonan semakan ini, ia boleh berlaku daripada mana-mana pihak demi untuk melihat satu-satu hukuman itu berjalan dengan lebih teratur dan tersusun,” katanya.
Ketika ditanya sama ada wujud tekanan daripada pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dr Muhammad Khalil menegaskan penangguhan semakan itu tidak mempunyai kaitan dengan pihak yang berkenaan.
“Tiada kaitan, kita nak supaya hukuman ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin, “ katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg