PONTIAN: Seorang nenek berusia 75 tahun adalah antara empat individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Pontian, Johor, atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah pada 15 Mei.
Chan Ah Moi, 75 tahun, dan adik lelakinya, Chan Chui Lai, 59 tahun, serta Tan Shee Seing, 50 tahun, dan Lim Huang Kin, 40 tahun, hanya mengangguk faham ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas tuduhan, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (M-D-M-A, atau ecstasy) seberat 23,572.74 gram dan 532.59 gram serta kanabis seberat 362.02 gram.
Chui Lan turut berdepan satu lagi tuduhan mengedar M-M-D-A seberat 1638.8 gram dan memiliki dadah nimetazepam seberat 275 gram, lapor Kosmo.
Mereka dituduh di bawah seksyen Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika tidak dihukum mati.
Di mahkamah yang sama, kesemua tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki 236.6 gram dadah ketamin.
Kesemua tertuduh didakwa mengedar dan memiliki dadah itu di sebuah rumah di Kukup Laut, Pontian, pada 1.30 pagi 4 Mei.
Mereka semua ditahan kerana kes tersebut tidak boleh diikat jamin.
Sementara itu di Kuala Terengganu, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 708.4 gram.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Nazirul Amri Mat Jamel, 28 tahun, didapati bersalah.
Dia didakwa mengedar dadah itu di pekarangan Perhentian Bas Bandar Jerteh, Besut, Terengganu, pada kira-kira 9 malam 29 Julai 2020.
Di Subang Jaya, Selangor, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Wan Azlan Wan Mamat, memaklumkan bahawa polis menahan seorang pegawai khidmat pelanggan syarikat perkapalan dan merampas ganja seberat lebih 35 kilogram dalam satu serbuan di USJ dan Petaling Jaya.
Dadah itu dianggarkan bernilai RM111,640 ($32,015).
Polis turut merampas sebuah kereta dan motosikal yang disyaki digunakan untuk pengedaran dadah oleh suspek lelaki berusia 32 tahun itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg