Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khalwat: Duda dihukum sebat depan khalayak ramai di Terengganu

Nov 21, 2024 | 11:34 AM
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan di depan khalayak ramai di sebuah masjid di Terengganu terhadap seorang duda lima anak, yang didapati bersalah atas kesalahan khalwat pada 20 November.
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan di depan khalayak ramai di sebuah masjid di Terengganu terhadap seorang duda lima anak, yang didapati bersalah atas kesalahan khalwat pada 20 November. - Foto ASTRO AWANI

HULU TERENGGANU: Seorang duda menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan di depan khalayak ramai di sebuah masjid di Terengganu pada 6 Disember ini, atas kesalahan khalwat berulang.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Encik Kamalruazmi Ismail, memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, yang juga seorang tukang rumah mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.

Mahkamah pada 20 November memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu, pada 6 Disember depan selepas solat Jumaat, sebaik tamat tempoh rayuan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Tertuduh turut dikenakan denda RM4,000 ($1,200) atau enam bulan penjara sekiranya gagal jelaskan denda berkenaan, lapor Astro Awani.

Mengikut tuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman, Terengganu, pada 1.40 pagi, 16 Jun lalu.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan ketiga tertuduh.

Encik Kamalruazmi dalam penghakimannya berkata dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan daripada segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagainya untuk pencegahan supaya perkara sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan peringatan ke atas orang awam.

“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd Affendi) pernah disebat dan dipenjara, tetapi buat lagi (berkhalwat).

“Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah beri keinsafan,” katanya.

Sebelum ini, tertuduh yang juga bapa kepada lima anak pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi tuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.

Tertuduh sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Januari lalu sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Untuk rekod, tertuduh sebelum ini menjadi pesalah khalwat pertama di Terengganu dikenakan empat sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg