Topik diikuti
Pergi ke BHkuHutang, liabiliti terkumpul kerajaan M’sia cecah RM1.76 trilion
Hutang, liabiliti terkumpul kerajaan M’sia cecah RM1.76 trilion
KUALA LUMPUR: Hutang dan liabiliti terkumpul Kerajaan Persekutuan Malaysia mencecah RM1.763 trilion ($555.16 bilion), mewakili 80.7 peratus daripada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) setakat akhir Jun 2026.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada 18 November, jumlah itu turut meliputi komitmen jaminan sebanyak RM248.3 bilion, meningkat sedikit berbanding RM245.8 bilion pada 2025 bagi tujuan pembiayaan projek infrastruktur.
Katanya, selain itu, liabiliti lain adalah obligasi kewangan di bawah kerjasama awam swasta dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) berkurang kepada RM136.2 bilion, berbanding RM143.7 bilion, pada 2025.
MOF berkata kerajaan kekal komited dalam melaksanakan langkah pembaharuan fiskal untuk menyediakan ruang fiskal yang mampan, seterusnya memastikan pengurusan hutang yang berhemah berlandaskan Kerangka Ekonomi Madani.
“Di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, kerajaan mempunyai komitmen jelas untuk memperkukuh disiplin fiskal termasuk mengurangkan defisit fiskal dalam jangka sederhana di bawah tiga peratus daripada GDP dan memastikan paras hutang tidak melebihi 60 peratus dalam jangka sederhana.
“Objektif fiskal ditetapkan di bawah akta ini mengukuhkan perancangan, ketelusan dan pemantauan fiskal serta menjadi panduan berterusan dalam penyediaan belanjawan tahunan dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) yang turut mengambil kira cabaran ekonomi semasa,” kata MOF dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan itu menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam dari Pakatan Harapan (PH), Encik Azli Yusof, yang mahu tahu jumlah terkini hutang negara dan liabiliti keseluruhan Kerajaan.
Beliau turut mahu tahu sejauh mana pelaksanaan FRA 2023 (Akta 850) membantu dalam mengurangkan defisit fiskal negara itu sejak ia diwujudkan dan unjuran untuk 10 tahun akan datang.
MOF berkata sejak Akta FRA dikuatkuasakan, usaha konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berperingkat iaitu defisit fiskal berkurang daripada 5.5 peratus daripada GDP pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025, lebih baik daripada sasaran asal 3.8 peratus.
Katanya bagi 2026, defisit diunjurkan pada 3.6 peratus, berbanding sasaran asal 3.5 peratus dengan mengambil kira kesan krisis di Timur Tengah dan keperluan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat.
“Defisit seterusnya diunjurkan berkurang kepada 3.3 peratus pada 2027, selaras dengan sasaran FRA di bawah tiga peratus dalam jangka sederhana.
“Usaha konsolidasi fiskal akan terus dipergiat melalui pengukuhan kutipan dan pematuhan cukai, peluasan asas hasil, pengurangan ketirisan serta pengoptimuman perbelanjaan awam bagi menjamin kemampanan fiskal jangka panjang,” katanya.
MOF berkata daripada segi hutang, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada GDP diunjurkan menurun daripada 65.2 peratus pada 2025, kepada 64 peratus pada 2026 dan 63.7 peratus pada 2027.
Katanya, selaras sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan menyasarkan mengurangkan nisbah hutang kepada GDP kepada 60 peratus menjelang 2030.