KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mencatat prestasi kewangan yang bertambah baik pada 2025 dengan peningkatan lebihan hasil sebanyak RM2.184 bilion ($680 juta) dan pengurangan defisit sebanyak RM3.878 bilion, berbanding 2024.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dalam kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 memaklumkan, nisbah defisit kepada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) turut berkurang daripada 4.1 peratus kepada 3.7 peratus pada 2025.

“Pencapaian ini lebih kukuh berbanding sasaran 3.8 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan Malaysia 2025.

“Ini meletakkan asas yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka masa sederhana di bawah 3 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan pada 5 Oktober.

Datuk Wan Suraya berkata kadar pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun iaitu antara 2021 dengan 2025 juga berkurang daripada 10.2 peratus kepada 5.9 peratus.

“Pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan menunjukkan perkembangan positif dengan pinjaman baharu turun sebanyak 8.2 peratus, iaitu daripada RM202.248 bilion pada 2024 kepada RM185.577 bilion pada 2025.

“Penggunaan utama pinjaman baharu tersebut adalah untuk membayar balik prinsipal pinjaman terdahulu yang telah matang pada 2025 berjumlah RM106.144 bilion dan pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM75.560 bilion bagi tujuan perbelanjaan projek-projek pembangunan,” katanya.

Menurut Datuk Wan Suraya, tumpuan utama pengauditan dalam LKAN kali ini antara lain ialah berhubung Pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut, Pembayaran Akaun Amanah Khas, Wang Pendahuluan Kontraktor, Akaun Belum Terima Kos Pengalihan Utiliti dan laporan pengurusan Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) hasil pengauditan secara interim setakat Julai 2026.

Selain itu menurutnya kutipan tunggakan Pinjaman Boleh Dituntut adalah rendah, iaitu hanya sejumlah RM0.465 bilion (5 peratus) daripada RM9.273 bilion yang berjaya dikutip pada 2025, di mana penstrukturan semula pinjaman perlu dibuat.

Namun, tunggakan baharu masih berlaku walaupun pinjaman telah distruktur semula.

Kerajaan Persekutuan juga telah menghapus kira sejumlah RM578.32 juta tunggakan bayaran balik yang terdiri daripada RM127.33 juta baki pokok belum selesai serta faedah dan faedah lewat berjumlah RM450.99 juta melibatkan 23 pinjaman pada 2025.

“Kementerian Kewangan disyorkan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, memperketat penilaian risiko serta menilai semula keberkesanan penstrukturan semula pinjaman,” katanya.

Dalam pada itu Datuk Wan Suraya menambah, Jabatan Audit Negara (JAN) memaklumkan status kemajuan LCS setakat 25 Jun lalu sebagai lewat 7.55 peratus, dengan kelewatan antara 30 dengan 108 hari.

Beliau berkata kelewatan tersebut memberi risiko kepada penyerahan fizikal (PHO) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tanpa ia mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan masih belum disempurnakan.

“Kelewatan tersebut memberi risiko kepada PHO terawal LCS 1 yang dijadualkan pada 26 Ogos 2026 atau sasaran baharu pada 26 Disember 2026.

“Sekiranya PHO dilaksanakan pada kededua tarikh tersebut, LCS 1 akan diserahkan tanpa mencapai keupayaan penuh.

“Kesiapsiagaan penuh projek LCS bergantung kepada Kontrak Pelengkap yang hanya dapat disempurnakan pada Disember 2035, iaitu melangkaui tempoh akhir Kontrak Utama pada April 2030.

“Kelewatan PHO LCS 1 memberi kesan kepada tempoh PHO LCS 2 hingga LCS 5,” katanya.

Projek LCS diluluskan pada 2011 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan ketika itu.

Pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 Ogos 2022 mendedahkan, tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan, yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut.